Sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri yang penuh barakah, Koperasi Norras Berhad telah menganjurkan Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri yang berlangsung dengan meriah di Hotel Grand Barakah, Ampang. Majlis ini turut menjadi saksi kepada pelancaran rasmi syarikat pelancongan, Norras Travel & Tours, yang membuka tirai dengan semangat baharu dalam industri pelancongan tempatan dan antarabangsa.
Majlis penuh gilang-gemilang anjuran bersama Enbee Holdings Sdn. Bhd., Ihsan Ifintech Sdn. Bhd. dan Norras Travel & Tours ini diserikan dengan kehadiran tetamu kehormat YBhg Datuk Azman Bin Abidin, Setiausaha Politik kepada YAB Perdana Menteri Malaysia, serta Prof Dato’ Dr. Norbik Bashah Bin Idris selaku Pengerusi Koperasi Norras Berhad.
Turut hadir memberikan sokongan ialah Pengarah Norras Travel & Tours, Puan Ayumi, dan beberapa figura terkenal tanah air termasuk pelakon tersohor Datin Maria Arshad serta penyanyi popular, Haqiem Rusli.
Pelancaran ini menjadi titik permulaan kepada usaha Norras Travel & Tours untuk membuka peluang pelancongan yang lebih luas kepada rakyat Malaysia, dengan pengenalan pakej sulung ke Acheh, Indonesia – satu destinasi yang bukan sahaja kaya dengan sejarah dan keindahan semula jadi, malah menawarkan pengalaman yang unik buat seisi keluarga. Ditawarkan dengan harga pengenalan sebanyak RM1,999 sahaja, dijadualkan berlangsung selama 4 hari 3 malam bermula 22 Mei 2025 ini.
Norras Travel & Tours ditubuhkan sebagai satu inisiatif di bawah Koperasi Norras Berhad untuk menyemarakkan semula sektor pelancongan yang terkesan akibat pandemik sebelum ini. Peneraju utamanya, Datin Dr. Raskidah, yang terkenal dengan kepimpinan dinamik dan visi global, menyatakan bahawa syarikat ini bukan sahaja ingin menjadi penyedia pakej percutian, malah sebagai jambatan untuk memperkenalkan budaya dan keindahan dunia kepada rakyat Malaysia.
Acheh & Pulau Sabang: Permata Nusantara yang Menanti untuk Diterokai
Acheh, terletak di utara Pulau Sumatera, merupakan salah satu wilayah Indonesia yang penuh dengan sejarah dan nilai keagamaan. Pasca tragedi tsunami pada tahun 2004, Acheh bangkit dengan semangat baharu dan kini menjadi destinasi pelancongan yang menawarkan pelbagai tarikan seperti Masjid Raya Baiturrahman, Muzium Tsunami Acheh, Bot di Atas Rumah serta perkampungan yang dibina semula dengan sokongan masyarakat dunia.
Digandingkan dengan Pulau Sabang yang terletak bersebelahan Acheh turut menjadi tumpuan utama dalam pakej ini. Pulau ini terkenal dengan keindahan alam semula jadi yang mempesona, pantai berpasir putih, serta aktiviti laut seperti dolphin hunting – menyaksikan ikan lumba-lumba bermain di perairan biru jernih. Pulau ini amat sesuai sebagai destinasi percutian keluarga yang santai, mendidik dan menghiburkan.
Salah satu tarikan paling ikonik di Pulau Sabang ialah Tugu Kilometer 0 Indonesia, yang menandakan titik paling hujung barat kepulauan Indonesia. Lokasi ini menjadi simbolik kerana ia menandakan permulaan segala ukuran jarak di Indonesia. Pelancong yang datang ke sini bukan sahaja berpeluang merakam kenangan di mercu tanda bersejarah ini, tetapi juga menikmati panorama Laut Andaman yang menakjubkan dari tebing tinggi yang menghadap ke samudera luas.
Menurut Datin Dr. Raskidah, pelancaran pakej Acheh hanyalah permulaan kepada misi global Norras Travel & Tours. “Selepas Acheh, kami akan menawarkan beberapa pakej pelancongan ke destinasi seperti Pakistan, Paris, Kazakhstan, Turkmenistan, Switzerland dan beberapa negara lain termasuk pakej umrah dan haji,” jelas beliau dengan penuh keterujaan.
“Kami akan bawa pelancong ke tempat yang bukan sahaja indah, tetapi yang ada nilai dan kisah untuk dikenang.” Tambahnya, Norras Travel & Tours tetap komited dalam melaksanakan pakej pelancongannya walaupun jumlah penyertaan kecil. Menurutnya, “Lima orang pun sudah cukup untuk kami jalankan pakej seperti yang ditetapkan.”
Majlis ini turut menyaksikan detik istimewa apabila diperkenalkan duta cilik Norras Travel & Tours, adik Lovena Azzahr Putri Aulya, yang diterbangkan khas dari Bandung, Indonesia yang memiliki lebih 144,000 pengikut di TikTok. Anak kecil berusia 6 tahun ini mencuri hati para hadirin dengan persembahan tarian comelnya.
Kehadirannya menjadi simbolik kepada semangat dan keterbukaan budaya yang dibawa oleh syarikat pelancongan ini disamping menjadi sebahagian strategi dalam mempromosikan konsep percutian keluarga.
Selain itu, Lovena juga bakal dijadualkan ke Paris bagi merakam kandungan pelancongan mesra kanak-kanak dan turut akan dibawa menunaikan umrah sambil mempromosikan koleksi jubah kanak-kanak keluaran Norras.
Pelancaran rasmi Norras Travel & Tours disempurnakan oleh YBhg Datuk Azman Abidin disaksikan Prof Dato’ Dr. Norbik dan Datin Dr. Raskidah dalam suasana penuh gemilang dan penuh harapan baharu bagi industri pelancongan negara.
Pengarah Urusan Norras Travel & Tours, Ayumi Evelina, dalam ucapannya memaklumkan lebih 50 destinasi percutian akan ditawarkan, merangkumi dalam dan luar negara dengan harga berpatutan. Tawaran istimewa berupa baucar bernilai RM500 turut diberikan kepada pelanggan yang membuat tempahan awal ke Acheh.
Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri ini bukan sahaja menjadi platform mengeratkan silaturrahim, malah turut membuka lembaran baharu kepada dunia pelancongan negara.
Pelancaran ini mencerminkan komitmen Koperasi Norras Berhad dalam menjadikan sektor pelancongan sebagai pemacu ekonomi dan platform memperkenalkan Malaysia sebagai pemain pelancongan antarabangsa yang aktif dan inovatif.
Dengan permulaan yang penuh bergaya, Norras Travel & Tours dilihat mampu mencorak masa depan yang cerah dan memberikan pengalaman bermakna kepada setiap pelanggan yang memilih untuk ‘melancong dengan hati’ bersama Norras Travel & Tours.
Untuk maklumat lanjut mengenai pakej pelancongan yang ditawarkan, orang ramai boleh menghubungi talian +6012 639 0530 (Firdaus) atau layari laman rasmi Norras Travel & Tours.
PERINGATAN:
Nokomen.com tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia merupakan pandangan peribadi pemilik akaun dan bukan sesekali daripada pihak kami. Segala risiko akibat sebarang komentar yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun itu sendiri.