fbpx
Home BeritaGlobal Jalinan Kerjasama Malaysia Dan Kazakhstan Teguh

Jalinan Kerjasama Malaysia Dan Kazakhstan Teguh

by NoKomen
536 views
Jalinan Kerjasama Malaysia & Kazakhstan Teguh - Borat Imanbayev

 

Malaysia dan Kazakhstan mencatatkan jumlah perdagangan melebihi 1 bilion dolar AS (RM4.28 bilion) sejak menjalinkan kerjasama dalam pelbagai bidang ekonomi 28 tahun lalu. Malah setiap tahun perdagangan dua hala antara negara meningkat di mana tahun lalu sahaja menyaksikan jumlah perolehan perdagangan naik sebanyak 25% berbanding tahun 2018.

Kerjasama antara syarikat dan pelabur Malaysia dengan rakan kongsi Kazakhstan terlaksana melalui projek dalam bidang minyak dan gas, kejuruteraan dan pembinaan, pertanian, teknokogi hijau dan banyak lagi.

“Malaysia adalah salah satu rakan politik dan ekonomi Kazakhstan yang paling penting di Asia Tenggara,” ujar Duta Besar Kazakhstan ke Malaysia, Bolat Imanbayev dalam satu temuramah eksklusif yang disiarkan dalam majalah ASWAQ baru-baru ini.

Menurutnya, hubungan erat terus terjalin apabila Majlis Perniagaan Malaysia-Kazakhstan (MKBC) diwujudkan pada bulan Oktober tahun lalu di Dewan Perwakilan Parlimen Malaysia bertujuan untuk mengembangkan hubungan dua hala dalam semua dimensi sesuai dengan perjanjian yang dicapai antara negara.

“Kami kerap mengadakan hubungan politik, termasuk di peringkat tertinggi memandangkan kedua-dua negara mempunyai banyak persamaan dari segi pembangunan ekonomi,” tambah Imanbayev.

Tambahnya lagi, dalam format pelbagai hala, kedua belah pihak saling menyokong secara aktif dalam pelaksanaan inisiatif dasar luar malah sering bersama mengikuti beberapa forum antaranya seperti PBB, OIC dan ASEM.

Selain itu katanya, Kazakhstan berminat untuk bekerjasama dengan Malaysia dalam kerangka Persatuan Forum Negara-Negara Asia Tenggara (ARF) mahu pun dalam rangka Organisasi Islam untuk Keselamatan Makanan (OFS) serta bersama dalam persidangan mengenai Interaksi dan Langkah-Langkah Membangun Keyakian di Asia (CICA).

Bercerita lanjut mengenai hubungan yang terjalin erat sejak pertemuan dan rundingan antara Presiden Kazakhstan pertama, Nursultan Nazarbayev dengan pemimpin negara pada tahun 1992 menyaksikan kerjasama perdagangan dan ekonomi yang bermula empat tahun kemudian terus rancak.

“Perjanjian Perdagangan yang ditandatangani menjadi tonggak penubuhan Jawatankuasa Perdagangan dan Ekonomi Bersama (JTEC) dan Majlis Perniagaan Kazakhstan-Malaysia (KMBC) seterusnya mendatangkan keuntungan kepada dua belah pihak,” tambah Imanbayev sambil melahirkan keyakinan kerjasama yang seumpama bakal diteruskan.

Menjelaskan lebih lanjut, Imanbayev memberitahu, pada tahun 2014 keputusan bersejarah pemimpin negara untuk mengembangkan kerjasama dua hala pada tahap “perkongsian komprehensif” turut dicapai.

Malah sejak wujudnya dialog politik seperti itu, kata Imanbayev, kedua-dua negara berjaya mewujudkan iklim yang baik tanpa sebarang masalah untuk dipertikaikan.

 

BACA: Kazakhstan Nafi Laporan Media Asing

 

Menggariskan beberapa lagi kejayaan yang dicapai kedua negara selepas pelancaran Majlis Perniagaan Kazakhstan-Malaysia di Kuala Lumpur pada bulan Jun 2019, Imanbayev memaklumkan kerjasama yang dijalinkan bersama Persatuan Perdagangan Antarabangsa PKS Malaysia (SMITA) disusuli kemudiannya dengan lawatan syarikat swasta Malaysia ke Kazakhstan.

“Satu rundingan B2B dengan beberapa MoU ditandatangani bersama dengan tujuan mengembangkan perdagangan, ekonomi dan kerjasama pelaburan dicapai,” sambung Imanbayev.

Tambahnya, Kazakh Invest, sebuah agensi nasional Kazakhstan untuk menarik pelaburan dan sokongan pelabur telah bekerjasama dengan MATRADE pada bulan Disember 2019 lalu dalam menganjurkan sebuah Forum Perniagaan.

Melalui forum berkenaan, maklumat terperinci mengenai program insentif Kerajaan Kazakhstan untuk pelabur asing telah disampaikan kepada lebih dari 120 syarikat Malaysia.

Ditanya mengenai kerjasama dan perkongsian dengan Malaysia di bidang lain, Imanbayev memberitahu kerjasama turut dilaksanakan dalam sektor pelancongan dan budaya.

Dari segi pelancongan, sejak Oktober 2009, syarikat penerbangan nasional Kazakhstan “Air Astana” memulakan operasi penerbangan berjadual di laluan Almaty – Kuala Lumpur – Almaty yang memberi kesan positif kepada perkembangan pelancongan antara negara.

Sebagai contoh, hampir 15,000 pelancong dari Kazakhstan mengunjungi Malaysia pada tahun 2019 dan kira-kira 10,000 pelancong dari Malaysia mengunjungi Kazakhstan dalam tempoh yang sama.

“Ini adalah kesan yang membuahkan hasil daripada pelaksanaan projek Presiden Pertama kami untuk mewujudkan syarikat penerbangan nasional Kazakhstan “Air Astana” dan mengembangkan laluan antarabangsa utama untuk tarikan pelancongan dan perniagaan yang lebih baik ke Kazakhstan, dan dalam hal ini kepada Malaysia juga,” cerita Imanbayev.

Malah dari segi budaya, tambahnya, tahun lalu, dengan kerjasama Kementerian Pelancongan dan Seni Malaysia, pihaknya mengadakan buat pertama kalinya pameran khas ‘Manusia Emas’ di rantau Asia Tenggara iaitu di Muzium Negara, Kuala Lumpur.

“Selama satu bulan, kami telah menunjukkan warisan sejarah dan budaya negara kami yang kaya sambil mempamerkan 346 artifaks dari Muzium Nasional Kazakhstan. Pameran ini menarik minat lebih daripada 21,000 orang pengunjung,” akhiri Imanbayev sambil menambahkata segala hasil usahasama yang positif itu adalah hasil kerja keras pemimpinnya, Presiden Pertama Nursultan Nazabayev yang kini diteruskan oleh Presiden Kassym-Jomart Tokayev.

 

BACA: Kazakhstan Kukuhkan Hubungan Dengan Malaysia

 

 

Sementara itu, pada 6 Julai ini Kazakhstan akan menyambut sambutan Ulang Tahun ke-22 ibu Kota – Nur-Sultan, bandar yang dibina dan dibangunkan oleh insitiatif dan kerja keras Presiden Nursultan Nazarbayev.

Sebagai Presiden Kazakhstan pada pilihan raya pertama pada 1 Disember 1991, rakyat Kazakhs memberi kepercayaan penuh kepada Nursultan untuk menentukan cara pembangunan Kazakhstan yang berdaulat.

Selepas menerima tanggungjawab itu setelah kejatuhan Uni Soviet, Nursultan mengharungi masa-masa yang sukar dalam menangani krisis politik negara namun masa membuktikan beliau mampu memikulnya waima membuktikan juga kepada rakyat bahawa mereka membuat pilihan tepat memilihnya.

Banyak sumbangan Nursultan bukan sahaja kepada peringkat dasar domestik tetapi antarabangsa sehingga beliau digelar Bapa Pengasas Kenegaraan moden dan Pemimpin Bangsa Sejati.

Kini, Nur-Sultan adalah simbol Kazakhstan terunggul dalam pembangunannya. Pertumbuhan ekonomi yang stabil menjadikan bandar Nur-Sultan sebagai model urbanisasi moden, penyelesaian seni bina, dan juga destinasi menarik untuk perniagaan dan pelancongan.

Tahniah! Dan Selamat Ulang Tahun Kazakhstan yang ke-22!

 


Nokomen.comBerita Terkini Hiburan Sensasi Malaysia

PERINGATAN: 
Nokomen.com tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia merupakan pandangan peribadi pemilik akaun dan bukan sesekali daripada pihak kami. Segala risiko akibat sebarang komentar yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun itu sendiri.

5 1 vote
Article Rating

You may also like

Subscribe
Notify of
guest
0 Comments
Inline Feedbacks
View all comments
0
Would love your thoughts, please comment.x
()
x