fbpx
Home Berita Penyelesaian Masalah Pencemaran Bekalan Air – RM2b Diperuntukkan

Penyelesaian Masalah Pencemaran Bekalan Air – RM2b Diperuntukkan

by NoKomen
121 views
Penyelesaian masalah pencemaran bekalan air

 

SHAH ALAM – Kerajaan negeri sedang menggariskan beberapa langkah penyelesaian masalah pencemaran bekalan air jangka masa pendek dan panjang yang kerap berlaku di negeri ini.

Untuk penyelesaian jangka pendek, kerajaan negeri akan menambah lebih 20 kakitangan bagi melakukan pemantauan di dua lembangan sungai utama iaitu Sungai Selangor dan Sungai Langat.

Dua jabatan iaitu Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) dan Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) sudah diarahkan untuk menambah jumlah kakitangan kontrak bagi tujuan pemantauan itu.

Kerajaan Selangor juga optimis dan yakin mampu menyelesaikan isu berkaitan gangguan bekalan air disebabkan pencemaran.

Exco Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani, Ir Izham Hashim berkata, sebahagian daripada penyelesaian akan diumumkan oleh Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dalam sesi pembentangan bajet.

 

“Menerusi taklimat, kita turut maklumkan mengenai penyelesaian segera yang mana kita jangka 99 peratus masalah gangguan bekalan air akan selesai apabila berlakunya pencemaran,” katanya ketika sidang media Taklimat Pelan Perancangan penyelesaian masalah bekalan air di Sungai Selangor dan Sungai Semenyih akibat pencemaran, bertempat di Auditorium Dewan Jubli Perak, Bangunan SSAAS, hari ini.

“Ini membabitkan kajian air lain termasuk kajian sumber air bawah tanah supaya perancangan sumber air di masa akan datang untuk jangka panjang akan berterusan, jadi kita akan tengok pembangunan air secara keseluruhan.”

Turut hadir bersama pada sidang media, Exco Pelancongan, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Orang Asli Selangor – Hee Loy Sian, Ketua Jabatan Pengagihan Air Selangor – Kelvin Siew, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pengurusan Lembangan Sungai dan Pantai (LUAS) – Puan Haslina Amer dan Timbalan Pengarah. Bahagian. UPEN – Makro dan Penswastaan – Puan Nor Azlina Abdul Aziz.

 

Penyelesaian Masalah Pencemaran Bekalan Air

 

Dalam pada itu, Izham berkata sebanyak 20 insiden pencemaran sumber air direkodkan sejak Januari lepas dengan 12 kes dapat ditangani lebih awal dan tidak menyebabkan henti tugas loji rawatan air (LRA).

Namun katanya, lapan daripada insiden pencemaran itu mengakibatkan henti tugas LRA dengan enam kes melibatkan pencemaran bau.

Terdahulu, pada 19 Oktober lalu, Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 1, Fasa 2, Fasa 3 dan Rantau Panjang terpaksa dihentikan tugas berikutan pencemaran sumber air mentah dikesan di Sungai Selangor kira-kira jam 2.00 pagi yang mengakibatkan gangguan bekalan air tidak berjadual sehingga menjejaskan 1.2 juta akaun pengguna di Lembah Klang.

Justeru kata beliau, sebagai langkah menangani masalah pencemaran sumber air, kerajaan negeri akan meluaskan kolam takungan banjir di Sungai Gong, Rawang tahun depan untuk bertindak sebagai lokasi pembendungan pencemaran air.

Katanya, kolam takungan banjir berkeluasan enam hektar itu akan dibesarkan menjadi 14 hektar selepas penelitian dibuat terhadap tanah milik kerajaan berdekatan kolam berkenaan. 

“Kolam itu dalam proses untuk ditukar kepada kolam rawatan awal yang air kumbahan ataupun hujan akan memasuki kolam berkenaan seterusnya dirawat sebelum dilepaskan ke Sungai Kundang serta Sungai Sembah. 

“Air yang sudah dirawat di peringkat awal itu akan memasuki muka sauk seterusnya ke LRA untuk diproses semula. Operasi kolam berkenaan juga sekali gus mengurangkan kos rawatan air di LRA,” katanya.

Kerajaan Negeri Selangor kemudian mengumumkan peruntukan RM2 juta untuk menggunakan perkhidmatan empat buah dron berteknologi tinggi bermula November depan sebagai antara langkah terbaik bagi memantau salah laku melibatkan alam sekitar dan membantu memberikan kajian awal mengenai premis bangunan dan juga perkara berhampiran sungai yang boleh mencemarkan sumber air.

“Dron berkenaan juga mampu mencerap kualiti dan kuantiti kedudukan air yang mengalir di sungai dengan kekerapan dua kali sehari serta boleh bergerak sejauh 1,000 kilometer,” tambahnya.

Selain itu, untuk penyelesaian jangka panjang, kerajaan negeri mempunyai perancangan untuk meningkatkan pengurusan dan perawatan air Loji Rawatan Air (LRA) di negeri ini.

Perancangan itu mungkin akan mengambil masa yang panjang, iaitu teknologi yang ingin digunakan akan menyahbau pencemaran dari sumber air tanpa perlu henti tugas LRA.

“Teknologi lain yang mungkin dapat digunapakai adalah dengan menyekat air tercemar di sungai dan menyalurkan bekalan menggunakan beberapa kolam takungan lain atau menerusi Projek Hybrid Off River Augmentation Storage (HORAS).

“Air Selangor sedang meneliti hal ini secara menyeluruh dan sudah pasti ia akan membabitkan kos bilion ringgit.

 


 

Tahukah anda? Lembangan Sungai Selangor dan Sungai Langat membekalkan 3,500 Juta Liter Sehari dimana jumlah keseluruhan 5,000 Juta Liter Sehari bagi seluruh Selangor & WPKL Putrajaya.

 


 

Potensi Pencemaran di Lembangan Sungai Selangor & Sungai Langat

 

Potensi Punca Pencemaran
  Keluasan Lokasi Gunatanah Premis/Kilang
Lembangan  
Sungai Selangor 2,176 kmp @ 217,600 hektar 6,462 72
Sungai Langat 2,663 kmp @ 266,300 hektar 8,676 151
Jumlah 4,839 kmp @ 483,900 hektar 15,108 223

 

 

Perincian Kaedah Penyelesaian Masalah Pencemaran Bekalan Air 

1. Rawatan Awal Air di Kolam-kolam Rawatan Air

Cadangan perlaksanaan rawatan Biologikal/Bio-Remediation bagi tujuan pemuliharaan kualiti air Sungai Gong-Sungai Sembah dan Sungai Beranang-Sungai Buah

  • Projek perintis Kolam Tebatan Banjir Sungai Gong
  • Menaiktaraf kolam takungan banjir di Sungai Gong kepada kolam rawatan air dwi fungsi melibatkan meluaskan kawasan daripada 16 ekar kepada 37 ekar
  • Menggunakan kaedah kombinasi pendekatan biologi seperti perletakan bahan nanoteknologi (aquaratin) dan kaedah fizikal seperti Raw Water Treatment System (RWTS)

Hasil yang akan diperolehi daripada projek perintis termasuklah:

  • Peningkatan kandungan Oksikgen Terlarut (Disolved Oxygen – DO) dan seterusnya pengurangan kadar permintaan Oksigen Biologi (Biological Oxygen Demand – BOD) dan kadar Permintaan Oksigen Kimia (Chemical Oxygen Demand – COD);
  • Penghapusan bau
  • Penghapusan mintak dan gris
  • Pengurangan logam berat
  • Pengurangan Jumlah Pepejal Terampai (Total Suspended Solid – TSS) dan Jumlah Pepekjal Terlarut (Total Disolved Solid – TDS)
  • Rejuvenasi hidupan akuatik

 

2. Cadangan Pemantauan dan Pengawasan di Lembangan Sungai Utama melalui Skuad PANTAS LUAS

Pemantauan ini akan dilaksanakan melalui kaedah berikut:

  • Skuad PANTAS akan diperkasakan bagi membuat pemantauan 24 jam di kawasan sensitif sumber air di Lembangan Sungai Utama yang membekalkan air ke LRA
  • Membangunkan stesen telemetri kualiti air bagi tujuan sistem amaran awal (early warning system) di hulu muka sauk yang berisiko

Pemantauan Drone Berteknologi Tinggi

Kawasan berpotensi tinggi untuk mencemar bagi Lembangan Sungai Selangor (18 kawasan – 16 km), Lembangan Sungai Langat (13 kawasan -36 km) dan Lembangan Sungai Klang (15 kawasan – 13 km) akan dibuat pemantauan dan pengawasan melalui kaedah Pemantaun Menggunakan Industry Grade UAV seperti perincian:

  • Pemantauan 2 kali sehari (10 malam – 1 pagi dan 7 pagi – 10 pagi)
  • Kawasan pemantauan dan pengawasan sehingga 35 km setiap hari
  • 1 pasukan UAV berpengalaman
  • Industrial-Grade Drone dengan spesifikasi visual tinggi dan kamera thermal (DJI M2/E)
  • Ketersediaan pasukan kecemasan 24 jam menggunakan high-end tactical drone (DJI M300)
  • VertikalitiOPS Cloud Software Platform

Tujuan Pensampelan Air

Penggunaan Drone-As-A-Service (DaaS) untuk aktiviti pensampelan air bagi kawasan yang mempunyai kesukaran akses dan capaian selamat (Non Contact Sampling). Bagi mengatasi masalah akses terhad ke tapak dan juga mengurangkan tempoh masa diperlukan untuk pensempelan.

 

3. Perlaksaan Pindaan Enekmen Lembaga Urus Air Selangor 1999 untuk meningkatkan denda bagi kesalahan pencemaran sumber air

Tindakan yang telah diambil oleh LUAS (Pelan Tindakan Bersepadu Menangani Pencemaran Sumber Air Negeri Selangor) adalah seperti berikut:

  • Membuat Kajian Semula Perundangan Enakmen LUAS 1999 dan Peraturan Kemasukan atau Pelepasan Bahan Pencemar Negeri Selangor 2012 bagi aktiviti pencemaran seperti dari kawasan pertanian
  • Menyemak semula jumlah denda dan kompaun supaya jumlah dan tindakan perundangan yang akan diambil tersebut lebih digeruni oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab. Kini, pihak LUAS juga dalam peringkat kajian semula / review Enakmen LUAS 1999
  • Menguatkuasakan pelaksanaan pelepasan efluen berdasarkan keupayaan kapasiti sungai iaitu applikasi Total Maximum Daily Load (TMDL) di kawasan yang ditetapkan selaras dengan Seksyen 56, Enakmen LUAS 1999 dan pelaksanaan Polluters Pay Principle (PPP) Seksyen 44(1)(b)
  • Melaksanakan kajian Kebolehlaksanaan “Zero Discharge” dan amalan kitar semula efluen pada masa depan di Negeri Selangor selaras Seksyen 127(m), Enakmen LUAS 1999
  • Draf cadangan pindaan Enakmen LUAS telah dicadangkan untuk diangkat di dalam Persidangan Dewan Negeri akan datang

 

4. Cadangan Untuk Melaksanakan Pengepaman Terus dari Kolam Takungan Sungai Selangor dan Sungai Langat untuk menjamin tiada gangguan Operasi LRA SSP 1,2,3 Rantau Panjang dan Semenyih semasa berlaku insiden Pencemaran Sumber Air

Cadangan projek yang telah dikenalpasti untuk dilaksanakan seperti berikut:

  • Pengepaman di Kolam HORAS 600 menggunakan Archimedean Screw Pump
  • Pengepaman di Kolam HORAS 600 menggunakan Submersible Pumping
  • Pengepaman di Kolam HORAS 600 menggunakan Submersible Pumping with RC Channel
  • Pengepaman dari Kolam Hang Tuah ke LRA Rantau Panjang
  • Pengepaman dari Kolam C ke muka sauk LRA Semenyih menggunakan Archimedean Screw Pump

 

Archimedean Screw Pump

Archimedean Screw Pump. Gambar Hiasan – Sumber: https://images.wisegeek.com/

 

Collapsible Weir

Collapsible Weir

 

Penyelesaian Masalah Pencemaran Bekalan Air Jangka Panjang (3-5 Tahun)

  • Penempatan semula industri atau kilang yang berisiko tinggi kepada pencemaran sungai
  • Pelaksanaan kaedah “Zero-Discharge” dan “Polluters Pay Principle (PPP)” di kawasan perindustrian
  • Alir masuk air ke muka sauk semua LRA dibuat melalui kolam atau tasik dan tidak terus daripada sungai
  • “Decentralization” LRA di seluruh Selangor
  • “Interconnectivity” antara semua kolam-kolam imbangan dan kolam utama
  • Pelaksanaan NRW secara lebih agresif

 

 

 


Nokomen.comBerita Terkini Hiburan Sensasi Malaysia

PERINGATAN: 
Nokomen.com tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia merupakan pandangan peribadi pemilik akaun dan bukan sesekali daripada pihak kami. Segala risiko akibat sebarang komentar yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun itu sendiri.

5 1 vote
Article Rating

You may also like

Subscribe
Notify of
guest
0 Comments
Inline Feedbacks
View all comments
0
Would love your thoughts, please comment.x
()
x