fbpx
Home Berita Status PKPP Akan Diumumkan Minggu Ini – PM

Status PKPP Akan Diumumkan Minggu Ini – PM

by NoKomen
101 views
Status PKPP Akan Diumumkan Minggu Ini - PM

 

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dijangka membuat pengumuman mengenai status Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang dijadualkan tamat 31 Ogos ini, pada minggu ini, kata Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

“Sama ada PKPP akan disambung atau tidak, beliau akan umumkan,” kata Ismail Sabri pada sidang akhbar perkembangan PKPP di bangunan Parlimen, di sini hari ini.

Sebelum ini dilaporkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesyorkan agar status PKPP dilanjutkan sehingga jangkitan Covid-19 di negara ini terkawal.

Menteri Kesihatan, Datuk Sri Dr Adham Baba dilaporkan berkata, cadangan itu sudah dikemukakan kepada Perdana Menteri dan Majlis Keselamatan Negara.

Sementara itu, mengulas mengenai Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali yang ingkar arahan kuarantin selepas pulang dari Turki, Ismail Sabri menyerahkan isu tersebut kepada polis untuk disiasat.

“Prosedurnya ialah KKM telah kompaun maksimum RM1,000, selebihnya untuk dibawa ke mahkamah, polis akan buka kertas siasatan dan dibawa kepada Peguam Negara. Peguam Negara akan buat keputusan perlu dihadapkan ke mahkamah atau tidak,” katanya.

Isu kegagalan Mohd Khairuddin mematuhi prosedur operasi standard bagi individu pulang dari luar negara itu dibangkitkan oleh Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok di Dewan Rakyat dan menjadi perhatian pelbagai pihak.

KKM dalam satu kenyataan media selepas itu berkata, kementerian mengenakan kompaun RM1,000 terhadap Mohd Khairuddin pada 7 Ogos lalu atas kesalahan mengikut Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan), Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1998.

Sementara itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador pula dilapor mengesahkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah membuka kertas siasatan terhadap Mohd Khairuddin yang gagal mematuhi kuarantin wajib di rumah setelah pulang dari Turki pada 7 Julai lalu. – Bernama

 

Sumber


Nokomen.comBerita Terkini Hiburan Sensasi Malaysia

PERINGATAN: 
Nokomen.com tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia merupakan pandangan peribadi pemilik akaun dan bukan sesekali daripada pihak kami. Segala risiko akibat sebarang komentar yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun itu sendiri.

5 1 vote
Article Rating

You may also like

Subscribe
Notify of
guest
0 Comments
Inline Feedbacks
View all comments
0
Would love your thoughts, please comment.x
()
x