Aplikasi Durioo+ kini tampil dengan wajah baharu, menawarkan pengalaman penstriman yang lebih maju dan mesra pengguna khusus untuk kanak-kanak. Dengan matlamat utama menyediakan kandungan selamat serta mendidik, platform ini memperkenalkan pelbagai pembaharuan yang direka khas untuk memenuhi keperluan anak-anak Muslim.
Durioo+ adalah sebuah aplikasi video yang dibangunkan khusus untuk kanak-kanak Muslim, menawarkan kandungan hiburan yang selamat dan mendidik.
Ditubuhkan pada 20 Ogos 2021 dan dilancarkan pada 18 Februari 2022, Durioo+ menyediakan pelbagai jenis konten seperti animasi, lagu kanak-kanak, doa, zikir, cerita, bacaan Quran, dokumentari, dan rancangan realiti.
Semua konten yang disediakan telah ditapis oleh panel ibu bapa Muslim untuk memastikan keselamatan dan kesesuaian bagi anak-anak. Dengan lebih daripada 120 siri animasi di bawah jenama Durioo Originals dan lebih daripada 13,000 video tersedia sehingga kini, Durioo+ sentiasa berusaha untuk memenuhi keperluan hiburan dan pendidikan anak-anak.
Misi utama Durioo+ adalah untuk membina ummah yang beriman, berakhlak, dan berilmu. Sinan Ismail, pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Durioo+, berhasrat untuk menyediakan platform yang bukan sahaja menghiburkan tetapi juga mendidik anak-anak tentang nilai-nilai Islam.
Inspirasi di sebalik pembangunannya datang daripada kesedaran kekurangannnya kandungan bersesuaian untuk anak-anak Muslim di platform lain dan berbekalkan pengalaman Sinan dalam menghasilkan siri animasi terkenal seperti Didi & Friends dan Omar & Hana, yang telah mencapai lebih daripada 3 bilion tontonan di YouTube.
Melalui kedua-dua siri ini, Durioo+ telah menemui formula terbaik untuk menarik perhatian kanak-kanak serta menyampaikan pendidikan Islamik dengan cara yang menarik.
Platform ini turut memberi peluang kepada pencipta kandungan tempatan melalui inisiatif Durioo+ Creator, yang membolehkan individu menghasilkan dan memuat naik video mereka. Model perkongsian hasil yang diperkenalkan memberi insentif kepada pencipta untuk menyumbang kandungan berkualiti.
Durioo+ menawarkan pelbagai jenis kandungan interaktif, termasuk aktiviti permainan dan DIY, yang sesuai untuk kanak-kanak berumur 2 hingga 12 tahun. Semua video di dalam platform ini bebas daripada unsur iklan dan telah ditapis untuk memastikan ianya selamat untuk tontonan.
Malah, pengguna juga boleh menikmati kandungan ini di pelbagai peranti termasuk telefon bimbit, tablet, iPad, Android TV, Apple TV, dan laptop. Selain itu, pengguna juga boleh memuat turun video untuk tontonan secara offline.
Durioo+ juga merancang untuk memperkenalkan kandungan baharu secara berkala. Antara penambahan yang akan datang termasuk kelas mengaji dan KAFA yang membantu anak-anak menghafal doa dan surah.
Reka bentuk antara muka baharu akan beroperasi secara vertikal untuk memudahkan navigasi pengguna muda. Pengguna juga akan disajikan dengan poster animasi dan filem di halaman utama sebagai ganti fokus kepada butang kategori sedia ada.
Durioo+ berkomitmen untuk menambah kandungan baru setiap minggu bagi memastikan terdapat selalu sesuatu yang segar dan menarik untuk ditonton oleh anak-anak. Statistik sepanjang 2024, menyaksikan purata 3.2 juta jam dan 28.9 juta kali tontonan keseluruhan merangkumi lebih 59 negara.
Salah satu aspek menarik dalam Durioo+ adalah penggunaan kecerdasan buatan (AI) melalui sistem Durioo Intelligence. Teknologi AI digunakan untuk menapis dan mengolah kandungan agar bersesuaian dengan nilai-nilai Islamik.
Contohnya, elemen-elemen dalam filem luar negara akan disesuaikan agar tidak bertentangan dengan ajaran Islam. Ini menunjukkan komitmen Durioo+ dalam melindungi anak-anak daripada kandungan negatif sambil menanamkan nilai-nilai positif.
Durioo+ mendapat sokongan daripada pelbagai tokoh terkemuka tempatan antaranya Profesor Muhaya dan Ustaz Don serta tokoh antarabangsa seperti Mufti Menk. Dengan matlamat untuk mencapai 67,000 pelanggan berbayar bagi 2025 (50,000 tempatan dan 17,000 antarabangsa), Durioo+ terus berkomitmen dalam menyediakan kandungan berkualiti tinggi yang sesuai untuk kanak-kanak Muslim.
Untuk melanggan, pengguna perlu memilih pakej langganan yang ditawarkan. Terdapat pilihan langganan bulanan bermula dari RM19.90 atau tahunan pada harga RM238.92. Pengguna juga boleh melanggan melalui Unifi TV dengan Kids Pack pada harga RM8.90 sebulan.
Pembayaran boleh dilakukan menggunakan kad debit atau kad kredit sahaja, dengan pilihan untuk membatalkan langganan pada bila-bila masa tanpa caj tambahan.
Dengan wajah baru dan penambahbaikan dalam fungsi serta pengalaman pengguna, Durioo+ berusaha untuk menjadi platform penstriman pilihan yang relevan dan bermanfaat bagi generasi akan datang.
Meskipun terdapat beberapa kekurangan pada pelancaran awalnya, komitmen pasukan untuk memperbaiki dan meningkatkan aplikasi menunjukkan potensi besar bagi masa depan platform ini.
Bersesuaian dengan slogan ‘Wajah Baru, Lebih Padu, Senangkan Ibu’, bagi ibu bapa yang mencari kandungan hiburan pendidikan yang selamat untuk anak-anak mereka, Durioo+ adalah pilihan yang tepat.
Untuk maklumat lanjut sila layari
PERINGATAN:
Nokomen.com tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia merupakan pandangan peribadi pemilik akaun dan bukan sesekali daripada pihak kami. Segala risiko akibat sebarang komentar yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun itu sendiri.