Majlis Makan Malam & Gema Selawat di Puncak Menara KL & Menara Alor Setar

Menutup tirai tahun 2024 dengan penuh keberkatan, NHMall Worldwide Empire dengan kerjasama Am Global Entertainer akan menganjurkan Majlis Makan Malam & Gema Selawat yang bakal berlangsung serentak di dua lokasi ikonik negara: Puncak Menara Kuala Lumpur dan Menara Alor Setar.

Acara ini dijangka menjadi manifestasi seni Islamik yang penuh penghayatan dengan tujuan menyemai rasa cinta kepada Rasulullah S.A.W. sambil memperkukuhkan silaturahim sesama umat Islam.

Program ini bukan sekadar acara seni, tetapi juga satu wadah untuk mendekatkan hati umat kepada maha pencipta, Allah S.W.T dan Rasul junjungan. Menurut Pengarah Program, Noor Amirah binti Abdul Razak, selain berselawat dan memuji kebesaran Allah, paparan dokumentari yang menyentuh perjuangan Rasulullah S.A.W. turut akan dipersembahkan, membawa para hadirin menghayati nilai-nilai mulia yang diperjuangkan oleh baginda.

Acara ini akan dimeriahkan dengan persembahan qasidah dan nasyid oleh kumpulan Assiddiq, Munshidat El Qassh, serta artis jemputan antaranya Pemenang Anugerah Lagu Nasyid Terbaik Di Majlis Anugerah Nasyid Malaysia 2020 (ANAM), Azmee bin Abdul Manap atau lebih dikenali sebagai Daqmie dan penyanyi, komposer, penerbit dan Pengerusi KOPSTAR, Dato’ Rohayati binti Sa’ayan, yang dijangka membawa sentuhan istimewa melalui alunan selawat yang penuh keinsafan dan kecintaan kepada Rasulullah S.A.W. Kehadiran mereka diharap mampu mencipta suasana yang mendalam, menyentuh hati setiap insan yang hadir.

Menurut wakil NH Mall, Muhammad Fitri bin Abd Samad, majlis ini bertujuan menghidupkan tradisi selawat sebagai tanda cinta kepada Rasulullah S.A.W. dan mengeratkan hubungan silaturahim antara umat Islam.

Melalui acara ini, diharapkan para hadirin dapat meningkatkan keimanan, memahami erti kehidupan berlandaskan nilai-nilai Islam serta menyemai budaya mengamalkan sunnah dalam kehidupan seharian, tambahnya.

Berselawat ke atas Rasulullah S.A.W. adalah satu ibadah yang sangat agung kerana ia turut dilakukan oleh Allah S.W.T. dalam firman-Nya:

“Sesungguhnya Allah dan para malaikat-Nya berselawat ke atas Nabi. Wahai orang-orang yang beriman! Berselawatlah kamu ke atasnya dan ucapkanlah salam penghormatan dengan sebenar-benar salam.”

(Surah Al-Ahzab, Ayat 56)

Rasulullah S.A.W. juga menjelaskan dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh an-Nasai bahawa sesiapa yang mengucapkan selawat kepada baginda satu kali, Allah akan berselawat kepadanya sepuluh kali, menghapuskan sepuluh kesalahan dan mengangkat darjatnya sebanyak sepuluh tingkat. Inilah keindahan selawat yang bukan sahaja menyucikan jiwa, malah menjadi tanda kecintaan tulus seorang hamba kepada Rasulullah S.A.W.

Pemilihan Menara Kuala Lumpur dan Menara Alor Setar sebagai lokasi program ini bukanlah kebetulan. Keduanya merupakan mercu tanda penting yang melambangkan keindahan dan kemajuan Malaysia. Menara Kuala Lumpur, sebagai menara telekomunikasi tertinggi di Asia Tenggara dengan pemandangan bandaraya yang menakjubkan, adalah simbol kemodenan negara.

Begitu juga dengan Menara Alor Setar, dengan latar belakang Gunung Jerai dan hamparan sawah padi yang menghijau, melambangkan keindahan alam semula jadi Malaysia. Melalui acara ini, para peserta bakal menikmati suasana yang indah dan berbeza sambil menghayati bacaan selawat yang menenangkan jiwa.

Penyatuan dua suasana atau era yang secara tersiratnya mentafsirkan selawat tidak mengenal tempat, ianya boleh dilakukan dimana-mana sahaja dibumi ciptaan Allah S.W.T ini, malah istimewanya kali ini berselawat dikedudukan tertinggi dengan harapan semangat dan alunan dilontarkan diperluaskan dan dirahmati dengan izinNya, Insha Allah.

Dari segi kemasyarakatan, program ini diharap mampu menjadi platform terbaik untuk memperkukuhkan hubungan antara umat Islam dari pelbagai latar belakang. Kehadiran mereka dalam suasana penuh harmoni mencerminkan semangat persaudaraan dan rasa tanggungjawab bersama dalam membentuk masyarakat yang lebih berakhlak dan bertanggungjawab.

Bagi yang ingin menyertai majlis makan malam ini, pelbagai kategori tempat duduk disediakan di kedua-dua lokasi dengan harga yang berbeza. Di Menara Kuala Lumpur, kategori Gold berharga RM3,000 (1 Kerusi RM300), Diamond RM4,000 (1 Kerusi RM400), dan Platinum RM5,000 (1 Kerusi RM500), manakala di Menara Alor Setar, kategori Gold berharga RM1,000 (1 Kerusi RM100), Diamond RM2,000 (1 Kerusi RM200), dan Platinum RM3,000 (1 Kerusi RM300).

Dengan anggaran penjualan 20 meja satu lokasi, setiap pembelian meja atau kerusi bukan sahaja menjanjikan pengalaman makan malam eksklusif, tetapi juga menjadi sebahagian daripada usaha amal, di mana sebahagian kutipan hasil jualan akan disalurkan kepada program keagamaan dan rumah anak yatim terpilih.

Dengan doa dan harapan, majlis yang penuh bermakna ini diharap mendapat sambutan luar biasa serta menjadi contoh terbaik dalam penganjuran acara berkonsepkan Islamik yang bermanfaat kepada masyarakat, tambah Puan Anita (ANITA Entertainment & Productions) selaku Penyelaras Media.

Marilah kita bersama-sama memeriahkan Majlis Makan Malam & Gema Selawat di Puncak Menara KL & Menara Alor Setar, menghidupkan selawat sebagai tanda cinta kepada Rasulullah S.A.W., memperkukuhkan hubungan sesama umat Islam, serta memperbanyakkan amal untuk kebaikan dunia dan akhirat.

“Salam dan Selawat untuk Nabi Junjungan, Kebaikan Berpanjangan untuk Kehidupan.”

Untuk sebarang maklumat lanjut berkaitan program, pembelian meja, ruang iklan buku cenderahati mahupun tajaan, sila hubungi


Nokomen.comBerita Terkini Hiburan Sensasi Malaysia

PERINGATAN: 
Nokomen.com tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia merupakan pandangan peribadi pemilik akaun dan bukan sesekali daripada pihak kami. Segala risiko akibat sebarang komentar yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun itu sendiri.

Related posts

Maaedicare Raises RM700,000 at Night of Hope & Healing Gala

Pelancaran MIMF 2026 Fokus PMKS, AI dan Automasi

CheckPointSpot® Rakan Pemasaan Rasmi HSN Putrajaya & HSNKL 2026