Kem Motivasi Jati Diri, Cipta Memori Bersama SOMMA Productions

Bunyi ombak menyapa pantai The Regency, Tanjung Tuan Beach Resort, Port Dickson, mengiringi permulaan program Kem Motivasi Jati Diri 2025 yang penuh bermakna, bertemakan “Cipta Memori Jati Diri Kualiti”. Dianjurkan oleh SOMMA Productions dari 11 hingga 13 September 2025, program selama tiga hari ini menghimpunkan peserta dari pelbagai latar belakang untuk menyelami potensi diri, membina keyakinan, dan memperkukuh semangat kerjasama dalam suasana santai tetapi bermakna.

Program ini merupakan permulaan dan penambahbaikan bagi SOMMA Productions dalam penghasilan program pembangunan diri yang berfokuskan aspek kepimpinan dan motivasi. Inisiatif ini melambangkan komitmen SOMMA untuk menyediakan platform pembelajaran holistik dan pengalaman bermakna yang yang menyeluruh bukan sahaja dari aspek mental dan fizikal tetapi juga rohani, bagi membentuk keseimbangan insan yang sempurna dan berkualiti.

Antaranya adalah untuk meningkatkan keyakinan diri, memperkembangkan kemahiran dan kreativiti, menambah nilai jati diri, memupuk nilai peribadi mulia serta membentuk sikap bertanggungjawab terhadap amanah dan tanggungjawab.

Lebih menarik, ini merupakan program pertama anjuran SOMMA Productions, menjadikan ia satu pencapaian penting dalam menambah baik portfolio aktiviti syarikat yang kini menumpukan kepada pembangunan insan melalui pendekatan yang inovatif dan interaktif.

Hari pertama dimulakan dengan pendekatan yang cukup unik dan segar, berbeza daripada kebiasaan program motivasi yang lain. Setiap modul dirancang bukan sahaja untuk mencabar fizikal dan mental peserta, tetapi juga untuk menyentuh aspek spiritual dan emosi secara mendalam. Dengan gabungan aktiviti luar, sesi interaktif dan perkongsian ilmu daripada pakar motivasi tersohor, program ini menjanjikan pengalaman yang bukan sekadar menyeronokkan, tetapi juga memberi impak jangka panjang dalam pembentukan jati diri yang berkualiti.

Modul 1: Ice Breaking dengan ‘Reverse Approach’ yang Unik!

Sesi pengenalan kali ini bukan seperti yang biasa kita lihat. Tiada sesi “bangun dan perkenalkan diri” yang klise. Sebaliknya, pendekatan yang digunakan adalah reverse approach – peserta diperkenalkan oleh peserta lain. Dimana setiap peserta perlu mencatatkan butiran peribadi sebelum diserahkan kepada peserta lain secara rambang. Kemudian kesemuanya harus meneka siapakah gerangan individu yang dibacakan.

Daripada kita yang bercakap tentang diri sendiri, peserta lain yang akan memperkenalkan kita! Menurut Dr. Ahmad Yusri Bani Hashim, pendekatan ini membantu mengurangkan cetusan getaran dalaman (trigger vibration) yang sering muncul bila perlu bercakap di hadapan orang ramai seperti gemuruh, gementar dan rasa tidak yakin.

Namun, apabila diperkenalkan oleh orang lain, peserta bukan sahaja lebih tenang, rasa diterima, malah lebih bersedia untuk membuka diri dan berinteraksi. Suasana menjadi lebih santai, mesra dan penuh gelak tawa – permulaan yang cukup ideal untuk membina hubungan dan keyakinan.

Sesi ini bukan sekadar pengenalan biasa, ia adalah pengalaman pertama merasai bagaimana persekitaran yang positif dapat mengurangkan tekanan dan membina keyakinan secara semula jadi.

Selepas sesi pengenalan, peserta dibawa ke pantai untuk aktiviti santai yang penuh keseronokan. Walaupun nampak seperti sekadar permainan, setiap aktiviti dirancang untuk menguji kerjasama, komunikasi dan kepercayaan antara ahli kumpulan. Dari permainan berpasukan hingga cabaran fizikal ringan, semuanya bertujuan untuk mencairkan suasana dan mengeratkan hubungan.

Modul 2: Team Building 1 – Mengenal Diri & Kerjasama

Sesi seterusnya diteruskan dengan Modul Team Building 1, yang menjadi kesinambungan daripada ice breaking. Dalam modul ini, Dr. Yusri menekankan tentang “trigger vibration” dan bagaimana ia boleh mempengaruhi tindak balas seseorang dalam kehidupan seharian. Aktiviti-aktiviti yang dijalankan bukan sekadar permainan, tetapi membawa mesej tersirat tentang kepentingan komunikasi, saling percaya, dan kebolehan menyelesaikan masalah bersama.

Di sebalik gelak ketawa dan strategi berpasukan, tersirat pelajaran tentang kepentingan komunikasi, kepercayaan, dan menyelesaikan masalah bersama. Dr. Yusri juga banyak berkongsi info tentang situasi harian yang kita hadapi tanpa sedar dan cara terbaik untuk menanganinya.

Salah satu momen menarik pada hari pertama adalah sesi mengenal dan menganalisis personaliti seseorang berdasarkan tarikh lahir. Peserta didedahkan dengan tafsiran mengenai potensi diri, kekuatan dalaman, serta aspek positif dan negatif yang boleh mempengaruhi personaliti. Walaupun tidak semua tafsiran seratus peratus tepat, kebanyakannya hampir selari dengan diri peserta.

Yang penting, aura negatif bukanlah sesuatu yang kekal – ia bergantung kepada emosi dan cara kita mengendalikannya. Menurut Dr. Yusri, aspek negatif sebenarnya bergantung kepada bagaimana seseorang mengawal dan mengubah emosi dalam diri – jika berjaya menguruskan emosi, aura positif akan lebih menonjol. Ia adalah sesuatu yang baru dan pastinya akan menjadi alat yang berguna untuk memahami diri dan rakan sepasukan dengan lebih baik.

Dr. Ahmad Yusri Bani Hashim

Tidak lengkap cerita ini tanpa mengenali sedikit latar belakang fasilitator hebat yang membimbing program ini. Dr. Ahmad Yusri Bani Hashim bukanlah nama asing dalam arena motivasi dan pembangunan diri. Seorang pakar pembangunan insan dan motivasi dengan pengalaman lebih 20 tahun. Beliau bukan sahaja seorang penceramah yang berpengalaman luas, malah juga mempunyai latar akademik yang mantap.

Dr. Yusri berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Perniagaan dari UiTM (1989), sebelum melanjutkan pengajian dalam bidang perubatan alternatif di luar negara. Beliau memperoleh Ijazah Kedoktoran dalam Perubatan Alternatif dari Open International University for Complementary Medicines, Colombo, Sri Lanka (2003), selain menerima Royal Fellowship Complementary Practitioners dari universiti yang sama pada tahun 2004. Pada tahun yang sama juga, beliau menamatkan Diploma dalam Perubatan Oriental di Medical Institute of Hawaii, USA.

Sepanjang kerjaya, beliau pernah mengendalikan pelbagai kursus dan latihan termasuk Pengurusan Stress, Kuasa Minda, EQ – Pergerakan Pasukan, Perkhidmatan Pelanggan, Usahawan Digital, Keusahawanan untuk Graduan, Paradigma Shift, Kecerdasan Emosi (EQ), Kecerdasan Spiritual (SQ), Bina Insan (Hijrah Insan), Nilai Sejagat, Pembangunan Minda Strategik, Keusahawanan Strategik, malah kursus-kursus berkaitan rawatan alternatif.

Dengan kombinasi ilmu perniagaan, pengurusan minda, dan kesihatan holistik, Dr. Yusri membawa pendekatan yang unik dan menyeluruh dalam setiap bimbingannya. Gaya penyampaian serta pendekatannya yang santai, penuh energi dan mudah difahami, digabungkan dengan ilmu yang mendalam berjaya memikat perhatian peserta menjadikan setiap sesi begitu mudah dihayati oleh semua peserta.

Dr. Yusri turut berkongsi pelbagai insight tentang bagaimana getaran dalaman mempengaruhi prestasi harian, serta bagaimana kita boleh mengenal pasti dan mengurus potensi diri secara lebih berkesan. Ramai yang menyifatkan sesi beliau bukan sekadar membuka minda, tetapi juga memberi inspirasi untuk lebih yakin dengan potensi diri masing-masing. Tidak hairanlah sesi ini menjadi antara yang paling dinanti dan paling diingati sepanjang hari pertama kem berlangsung.

Secara keseluruhannya, Hari Pertama Kem Motivasi Jati Diri ini berjalan dengan penuh warna dan makna serta telah berjaya membina asas yang kukuh untuk dua hari yang seterusnya. Semangat kerjasama sudah mula terbina, dan yang paling penting, keyakinan diri setiap peserta mula disemai.

Aktiviti-aktiviti yang dijalankan membuktikan bahawa pembelajaran tidak semestinya berlaku di dalam bilik seminar sahaja, tetapi juga melalui pengalaman praktikal yang menyeronokkan. Hari kedua dijangka lebih mencabar dengan aktiviti-aktiviti lanjutan yang bakal menguji ketahanan fizikal, mental, dan kreativiti peserta.

Hari pertama berakhir dengan senyuman, semangat baru dan rasa ingin tahu yang tinggi. Kalau ini baru permulaan, bayangkan apa yang menanti pada hari kedua dan ketiga. Nantikan sambungannya – lebih banyak aktiviti, lebih banyak ilmu, dan pastinya lebih banyak memori jati diri yang akan tercipta. 💪✨

Ikuti liputan Hari 2 esok untuk melihat perkembangan seterusnya!


Nokomen.comBerita Terkini Hiburan Sensasi Malaysia

PERINGATAN: 
Nokomen.com tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia merupakan pandangan peribadi pemilik akaun dan bukan sesekali daripada pihak kami. Segala risiko akibat sebarang komentar yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun itu sendiri.

Related posts

Maaedicare Raises RM700,000 at Night of Hope & Healing Gala

Pelancaran MIMF 2026 Fokus PMKS, AI dan Automasi

CheckPointSpot® Rakan Pemasaan Rasmi HSN Putrajaya & HSNKL 2026