Filem Pontianak 200KG merupakan sekuel kepada filem komedi seram yang popular, Pontianak 100KG, dan diterajui oleh pengarah Suhaimi Lua. Filem ini dijadualkan untuk ditayangkan di pawagam seluruh negara pada 5 September 2024.
Dibawakan khas oleh Primeworks Studios dan Metrowealth, Pontianak 200KG meneruskan kisah daripada telefilem Pontianak sebelumnya yang terkenal dengan penampilan unik dan berat. Kali ini difilemkan, fokus cerita beralih kepada perjalanan dua pontianak, Ponti Melati dan Ponti Mewangi, yang lebih cenderung memburu makanan daripada membunuh manusia.
Perbezaan antara telefilem Pontianak 100KG dan filem Pontianak 200KG terletak pada perkembangan cerita, karakter, dan tema yang diketengahkan.
Dalam Pontianak 100KG mengisahkan tentang Melati, seorang gadis cantik yang mati dalam keadaan berlaparan akibat ibunya menghabiskan makanan kegemarannya, Telur Ikan Parang dan berubah menjadi pontianak seberat 100KG yang sentiasa mengganggu penduduk kampung demi makanan, dan tiada penekanan pada perasaan atau latar belakang karakter.
Lebih menekankan pada elemen seram dan komedi, dengan fokus kepada masalah yang dihadapi oleh penduduk kampung akibat pontianak tersebut.
Sebaliknya, Pontianak 200KG memperkenalkan entiti baharu, Ponti Mewangi disamping Ponti Melati, mengangkat tema yang lebih positif, berusaha untuk menyampaikan mesej tentang perasaan, kepelbagaian dan penerimaan. Ia menunjukkan bahawa pontianak juga boleh datang dalam pelbagai bentuk dan saiz, serta mempunyai emosi.
Dengan latar belakang Kampung Terbalik yang terjejas akibat ancaman pontianak, filem ini menggambarkan keadaan huru-hara yang berpunca daripada peningkatan kes kecurian makanan namun dalam masa yang sama pontianak-pontianak ini berusaha untuk mengubah persepsi umum tentang diri mereka.
Penduduk kampung, kerana salah faham, menganggap mereka sebagai pontianak penghisap darah, sehingga beberapa daripada mereka jatuh ke dalam keadaan koma. Dalam kekecohan ini, seorang lelaki yang berpenampilan seperti Korea bernama Bilal mencetuskan persaingan antara Melati dan Mewangi untuk mendapatkan perhatian, menambahkan lagi kekacauan di kampung.
Filem ini tidak hanya menghiburkan, tetapi juga membawa mesej positif tentang kepelbagaian dan penerimaan, menjanjikan pengalaman menonton yang menyeronokkan untuk penonton dari pelbagai lapisan umur.
Dalam Pontianak 200KG, pontianak ditampilkan dengan cara yang berbeza daripada stereotaip biasa, di mana mereka digambarkan sebagai makhluk yang mempunyai perasaan dan keinginan yang lebih manusiawi, serta menekankan sokongan terhadap kepelbagaian fizikal.
Ia juga mengangkat tema komedi yang menjadikan kisah pontianak lebih ringan dan menghiburkan, dan mencerminkan isu-isu sosial yang lebih luas, seperti kecurian makanan, yang menunjukkan bahawa pontianak berfungsi sebagai simbol untuk menggambarkan masalah yang lebih besar dalam masyarakat.
Menjalankan penggambaran di Ijok, Pontianak 200KG berjaya menggabungkan elemen komedi dan seram dengan cara yang menarik melalui watak pontianak yang unik, plot yang menarik, lakonan pelakon yang mantap, dan penggunaan kesan visual yang kreatif.
Pontianak 200KG menampilkan gabungan barisan pelakon yang hebat, termasuk Aya Amiruddin dan Dottie @ Syuhaida Abraz sebagai pelakon utama, serta Ropie, Niezam Zaidi, Wanns Ahmad, Malia Baby, Shah Naufas, dan Hairul Aziz sebagai pelakon sokongan. Turut memperkenalkan Apich Lo serta penampilan istimewa primadona Ziana Zain, selepas sekian lama tidak beraksi di layar perak, pasti menjadi tumpuan.
Masakan ada yang baru jika tiada yang lama, penampilan dan perwatakan watak Ketua Kampung lakonan Ropie benar-benar menceria dan menghidupkan lagi filem ini. Mimik muka dan lakonan bersahaja ditambah dengan penggunaan dialek ala Korea mencuit hati penonton.
Begitu juga dengan watak Sood yang mempunyai masalah pendengaran kritikal lakonan Hairul Aziz (pemegang rekod watak Sood sepanjang zaman dari 2016- Budak Magik ;) ) dengan telatahnya yang sering memberikan jawapan yang menyimpang jauh dari topik perbualan pasti menambahkan lagi aksi komedi filem ini.
“Filem ini adalah bukti komitmen kami untuk terus menyajikan kandungan berkualiti tinggi yang sesuai untuk seisi keluarga. Kami berharap Pontianak 200KG akan mendapat sambutan hangat , seterusnya mengukuhkan lagi kedudukan filem komedi seram dalam industri perfileman tempatan.”
David teo
Runut bunyi filem dihasilkan menerusi kerjasama dengan Shiha Zikir Empire, sekaligus memperkenalkan Aya Amiruddin ke dunia muzik. Lagu tema berjudul “Naik Hantu,” yang ditulis oleh Iqie Hugh, Shazriq Azeman, dan Omar K, dinyanyikan oleh Shiha Zikir dan Aya Amiruddin, telah dilancarkan di platform digital pada 24 Julai 2024 lalu.
Selain itu, terdapat juga versi rock yang dinyanyikan oleh Buck dan Awas, dijadualkan bakal dilancarkan pada 15 Ogos 2024 ini di saluran YouTube Alternate Records & Talent.
Nini Yusof, CEO Rangkaian Televisyen Media Prima & Primeworks Studios, menyatakan bahawa Pontianak 200KG hadir sebagai satu kerjasama yang menyeluruh, bertujuan untuk memperluas genre filem di Malaysia. Dengan elemen seram komedi yang inovatif, mereka berharap untuk memberikan pengalaman baru kepada penonton dan membina peluang untuk bakat baru dalam industri seni.
Pengarah filem ini, Shuhaimi Lua, melahirkan rasa terima kasih atas kepercayaan yang diberikan untuk menghasilkan filem ini, yang dianggap sebagai titik penting dalam kerjayanya. Filem ini menyajikan pontianak dalam gaya yang “comel”, berbeza daripada gambaran stereotaip lazim, di mana pontianak ini lebih suka mencuri makanan berbanding mencederakan manusia, menjadikannya lebih mesra dan menghiburkan.
Secara keseluruhan, telefilem Pontianak 100KG dan filem Pontianak 200KG menawarkan pengalaman yang berbeza kepada penonton, dengan Pontianak 200KG berusaha untuk membawa perubahan dalam cara pontianak dipersepsikan dalam budaya popular Malaysia.
Dengan tagline ‘Filem Komedi Paling Berat Abad Ini’, Pontianak 200KG adalah filem yang menghiburkan dan sesuai untuk peminat genre komedi seram. Dengan gabungan watak yang unik, plot yang menarik, dan mesej positif tentang penerimaan, filem ini menjanjikan pengalaman menonton yang tidak akan dilupakan.
Jangan lepaskan peluang untuk menyaksikan kemunculan semula pontianak “terberat” ini di layar perak pada 5 September 2024 dengan pembukaan 75 pawagam di seluruh Malaysia dan Brunei!
Bahasa: Melayu
Sari Kata: Melayu/Inggeris
Klasifikasi: P12
Tarikh Tayangan: 5 September 2024
Waktu Tayangan : 1 Jam 33 Minit
Genre: Komedi Seram
Pengarah: Shuhaimi Lua
Penerbit: Primeworks Studios & Metrowealth
Pengedar: Metrowealth
Pelakon: Aya Amiruddin, Syuhaida Abraz, Ropie,
Ziana Zain, Apich Lo, Wanns Ahmad, Niezam Zaidi, Hairul Aziz
PERINGATAN:
Nokomen.com tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia merupakan pandangan peribadi pemilik akaun dan bukan sesekali daripada pihak kami. Segala risiko akibat sebarang komentar yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun itu sendiri.