Kuala Lumpur – AEON CO. (M) BHD. dan AEON BiG (M) SDN. BHD. (AEON atau Syarikat) mengadakan Program Bubur Lambuk AEON Bersama Komuniti sempena bulan Ramadan yang mulia dengan semangat kerjasama dalam menyambut Hari Raya Aidilfitri yang bakal tiba.
Majlis berlangsung di perkarangan AEON BiG Bandar Tun Hussein Onn, Cheras, Selangor pada 19 April 2022 lalu, dimulakan dengan aktiviti memasak Bubur Lambuk dengan kerjasama Majlis Perbandaran Kajang (MPKj), kakitangan AEON serta sokongan komuniti setempat.
Sebanyak lebih kurang 50 ribu bekas Bubur Lambuk yang siap dimasak diagihkan kepada lebih kurang 1,200 pengunjung pasar raya tersebut.
Program Bubur Lambuk AEON bersama Komuniti ini juga akan terus dianjurkan secara berperingkat sehingga 24 April 2022 di cawangan AEON dan AEON BiG di seluruh negara. Bersesuaian dengan inisiatif kelestarian untuk negara, AEON Sayap Bagimu dengan aspirasi menyokong satu sama lain, berkongsi rezeki serta mengukuhkan kerjasama dengan komuniti dan ekosistem AEON.
Menurut Dr. Kasuma Satria Mat Jadi, Ketua Pegawai Sumber Manusia merangkap Pengarah Komunikasi Korporat, AEON, “Kami berasa amat bersyukur kerana dapat berkongsi rezeki dengan mereka yang sentiasa rapat di hati kami. Kami yakin Program Bubur Lambuk AEON Bersama Komuniti ini dapat mengukuhkan lagi ukhwah di antara AEON dan masyarakat setempat. Selain inisiatif ini juga adalah untuk menzahirkan penghargaan terhadap sokongan berterusan daripada para pelanggan kami.”
Pada majlis yang sama, Yayasan AEON Malaysia (MAF) turut menyumbang pembelian pakaian baharu untuk sambutan Hari Raya Aidilfitri kepada 50 orang anak-anak dari Pertubuhan Kebajikan Islam Peribadi Mulia, Kajang. Sumbangan telah disampaikan oleh Datin Noryahwati Mohd Noh, Presiden, MAF.
Tidak terhenti disitu, mereka juga dimeriahkan lagi dengan pemberian sumbangan duit raya daripada Tuan Haji Najmuddin Jemain, Yang DiPertua, MPKj sejurus selepas jamuan berbuka puasa yang turut dihiburkan dengan persembahan kumpulan nasyid terkenal tanahair, Raihan.
Majlis turut diserikan dengan kehadiran Datuk Iskandar Sarudin, Pengerusi, AEON; Sheikh Farouk Sheikh Mohamed, Ketua, AEON BiG; Ustaz Dr. Fairuz Mohamad, Nazir, Masjid Bandar Tun Hussein Onn; Datuk Haji Othman Abdul Latiff, Pengerusi, Surau Al Amin; Tuan Haji Kamal Sahid, Pengerusi, Madrasah Cheras Perdana; Dr. Haji Mohamad Abd Manap, Pengerusi, Surau Al-Ansar; Azman Mohamed, Pengerusi, Surau Al Fathonah; Haji Rosmidi Mat Dah, Pengerusi, Surau Annur Taman Kasturi; dan Haji Muzaffar Mohd Anas, Pengerusi Surau As Siddiq.

Program ini adalah sejajar dengan usaha AEON yang memperjuangkan Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu – 16 yang menggalakkan masyarakat yang aman dan inklusif untuk pembangunan lestari, menyediakan akses kepada keadilan untuk semua dan membina institusi yang bertanggungjawab dan inklusif yang berkesan di semua peringkat.




Untuk maklumat lanjut, sila layari

PERINGATAN:
Nokomen.com tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia merupakan pandangan peribadi pemilik akaun dan bukan sesekali daripada pihak kami. Segala risiko akibat sebarang komentar yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun itu sendiri.




