Home Gaya HidupKamiSempoi Golden Award 2025 & Premier Academy Lahirkan Profesional Live Streamer

KamiSempoi Golden Award 2025 & Premier Academy Lahirkan Profesional Live Streamer

by NoKomen
176 views
KamiSempoi Golden Award 2025 & Premier Academy Lahirkan Profesional Live Streamer | Nokomen.com

Di sebalik gemerlap pentas anugerah dan sorakan ribuan peminat, terdapat satu misi yang lebih besar yang sedang digerakkan oleh KamiSempoi International Agency (KSIA). Ketika industri live streaming di Malaysia terus berkembang daripada sekadar ruang hiburan santai kepada satu ekosistem digital yang mampu menawarkan peluang kerjaya, KSIA mengambil langkah berani untuk membawa bidang ini ke tahap profesionalisme yang setanding dengan industri hiburan arus perdana.

KamiSempoi Golden Award 2025, yang memasuki tahun keempat penganjurannya pada 28 Ogos 2026 di Glitz Gala Ballroom, Pusat Perdagangan Mines 2, Seri Kembangan, bukan sekadar malam untuk mengagihkan trofi. Ia adalah platform untuk mengiktiraf seluruh ekosistem—dari live host, sub-agensi, gifter, sehinggalah rakan penaja yang memainkan peranan dalam membangunkan komuniti TikTok LIVE di Malaysia dan Asia Tenggara.

KamiSempoi Golden Award 2025 & Premier Academy Lahirkan Profesional Live Streamer | Nokomen.com

20 Kategori, Pengiktirafan Merentas Sempadan

Tahun ini menyaksikan sebanyak 20 kategori dipertandingkan—peningkatan ketara berbanding 27 kategori pada edisi sebelumnya. Daripada jumlah tersebut, 13 kategori dikhususkan kepada Live Host, tiga kategori kepada Sub Agency dan Talent Manager, satu kategori Gifter, serta tiga pengiktirafan utama mengikut pasaran iaitu Top Host Malaysia, Top Host Singapura dan Top Host Indonesia.

Pengenalan kategori mengikut negara mencerminkan perkembangan KSIA di peringkat serantau. Komuniti agensi ini kini merangkumi kira-kira 4,300 live host di Malaysia, 1,500 di Indonesia dan 200 di Singapura—lonjakan drastik berbanding 3,100 di Malaysia dan 1,400 di Indonesia pada tahun sebelumnya.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif KSIA, Pakcik Chin Swee, pemilihan penerima anugerah tahun ini dilakukan dengan lebih teliti berdasarkan pencapaian sebenar.

“Tahun ini kita betul-betul pilih host yang akan menyertai acara ini. Kita mahu mereka yang berada di pentas itu mempunyai pencapaian yang boleh dibanggakan. Antara perkara yang kita lihat ialah diamond achievement dan live achievement. Jadi ia bukan semata-mata kerana seseorang itu popular, tetapi kerana mereka benar-benar menunjukkan prestasi dan usaha,” jelasnya.

Pendekatan ini menjadikan acara tersebut bukan sekadar sebuah malam glamor, tetapi sebahagian daripada usaha membina budaya prestasi dalam kalangan komuniti TikTok LIVE di bawah KSIA.

KamiSempoi Premier Academy: Melahirkan Profesional Live Streamer

Namun, malam anugerah hanyalah permulaan. Sorotan sebenar edisi kali ini ialah pelancaran KamiSempoi Premier Academy, sebuah akademi yang ditubuhkan khusus bagi melatih dan membangunkan generasi baharu profesional live streamer.

Akademi ini akan beroperasi di pejabat KamiSempoi di Quill City Mall, Kuala Lumpur, dan menjadi pusat latihan serta pembangunan bagi individu yang benar-benar serius untuk mendalami bidang live streaming secara profesional. Pengambilan akan melalui proses temuduga dan saringan yang ketat—bukan berdasarkan latar belakang, tetapi minat, kesungguhan dan potensi untuk dibangunkan.

“Kami tidak kisah mereka datang daripada background apa. Penyanyi, pengacara, pelajar, suri rumah atau orang biasa sekalipun. Yang penting mereka mahu belajar, mahu bekerja dan betul-betul serius untuk jadikan live streaming sebagai kerjaya. Kalau dia pandai bercakap, pandai berkomunikasi dan boleh menghiburkan orang, itu yang kami cari,” kata Pakcik Chin Swee.

Kurikulum akademi direka untuk tempoh satu tahun, dengan penanda aras pencapaian 1 juta diamond sebagai salah satu syarat untuk menamatkan program. Peserta yang mempunyai prestasi cemerlang berpotensi mencapai sasaran lebih awal, sekitar enam bulan.

Apa yang membezakan akademi ini daripada program latihan lain ialah pendekatan holistiknya. Kurikulum merangkumi latihan teknikal, pembangunan kandungan, look & feel seorang hos, ketrampilan diri, penampilan, persembahan, komunikasi, live setup, interaksi dengan penonton, dan pembangunan prestasi LIVE.

Mengubah Persepsi ‘Work From Home’ Kepada Kerjaya Profesional

Salah satu cabaran terbesar yang mahu ditangani menerusi akademi adalah persepsi bahawa pekerjaan sebagai live streamer mudah kerana ia boleh dilakukan dari rumah. Pakcik Chin Swee mahu membentuk generasi live streamer yang mempunyai disiplin, sasaran, daya saing dan fighting spirit.

“Ramai orang mahu jadi live streamer tetapi tidak ada direction. Kita mahu ubah mindset bahawa sebab kerja dari rumah, kita tidak perlu ada disiplin. Kalau mahu jadikan ini pekerjaan tetap, kita kena bekerja dan belajar. Kena ada drive, kena ada fighting spirit dan kena ada performance. Sebab itu kami wujudkan akademi ini,” katanya.

Perbandingan dengan platform Douyin di China sering menjadi rujukan. Pakcik Chin Swee melihat bahawa live streaming di China sudah jauh ke hadapan—setara dengan rancangan televisyen dengan produksi besar, termasuk konsert dan pelbagai bentuk persembahan.

“Kita di Malaysia masih mempunyai banyak ruang untuk penambahbaikan. Kalau kita mahu bersaing, kita perlu mula bergerak ke arah live streaming yang lebih profesional,” katanya.

Menyediakan Studio Untuk Mereka Yang Belum Mempunyai Modal

KSIA juga menyedari bahawa halangan kewangan sering menjadi penghalang kepada bakat baharu. Penyediaan sebuah studio LIVE yang lengkap memerlukan pelaburan besar—kamera, PC berprestasi tinggi, sound card, sistem audio dan peralatan teknikal lain.

Justeru, KSIA merancang menyediakan kemudahan studio secara sewaan kepada live streamer yang belum mempunyai kemampuan untuk menyediakan studio sendiri.

“Kalau mereka sudah menyimpan dan ada bajet, mereka boleh set up studio sendiri. Tetapi kalau belum ada bajet, kami mahu sediakan studio untuk mereka. Ada PC, dua kamera, sound system dan keperluan asas untuk LIVE. Jadi mereka boleh datang dan gunakan kemudahan yang kami sediakan,” katanya.

Langkah ini menjadikan KSIA sebagai one-stop centre yang bukan sahaja menyediakan latihan, malah membantu dari aspek kemudahan teknikal bagi mereka yang mahu membina kerjaya dalam bidang live streaming.

Masa Depan Live Streaming Malaysia

Dengan komuniti yang terus berkembang dan pelancaran akademi yang bakal melahirkan lebih ramai profesional, KSIA melihat potensi industri live streaming Malaysia masih sangat besar.

“Kami mahu orang melihat live streaming sebagai satu kerjaya profesional. Kami mahu lahirkan generasi baharu yang bukan sahaja boleh mendapatkan tontonan, tetapi boleh menghasilkan sebuah live show yang berkualiti dan mempunyai standard produksi yang tinggi,” kata Pakcik Chin Swee.

“Ini bukan sesuatu yang boleh berlaku dalam satu malam. Tetapi kita perlu mula bergerak sekarang. Kami percaya masa depan live streaming Malaysia sangat besar.”

Melalui KamiSempoi Golden Award 2025, KSIA meraikan kejayaan yang telah dicapai. Manakala menerusi KamiSempoi Premier Academy, KSIA bersedia untuk membina generasi seterusnya—lebih profesional, lebih berkemahiran dan lebih bersedia untuk bersaing dalam landskap live streaming global.

Untuk maklumat lanjut, sila layari


Kongsi berita di Nokomen.com
Nokomen.comBerita Terkini Hiburan Sensasi Malaysia

PERINGATAN: 
Nokomen.com tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia merupakan pandangan peribadi pemilik akaun dan bukan sesekali daripada pihak kami. Segala risiko akibat sebarang komentar yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun itu sendiri.

You may also like

Leave a Comment

Are you sure want to unlock this post?
Unlock left : 0
Are you sure want to cancel subscription?
MSL 2026-27