Home Gaya HidupGaleri Nur Raudhah Raikan Anak Yatim, Ibu Tunggal Sempena 10 Muharam

Galeri Nur Raudhah Raikan Anak Yatim, Ibu Tunggal Sempena 10 Muharam

by NoKomen
2.4K views
Galeri Nur Raudhah

Seawal pagi, sudah bergema alunan selawat dan zikir munajat di Galeri Nur Raudhah, sempena menyambut kedatangan tarikh penuh sejarah dalam kalendar Islam, 10 Muharam, yang jatuh pada Jumaat 28 Julai.

10 Muharam atau disebut sebagai Hari Asyura dikaitkan dengan beberapa peristiwa penting dalam sejarah dan peradaban Islam. Berasal dari perkataan dalam bahasa Arab ‘asyr’ bagi angka sepuluh mewakili hari kesepuluh bulan Muharram dalam kalender Hijriyah.

Hari Asyura adalah hari dimana Nabi Allah Adam AS ditiupkan roh, diciptakan syurga dan neraka dan ketika itu juga Allah menyelamatkan Nabi Musa AS beserta kaumnya (Bani Israil) dan menenggelamkan Firaun beserta bala tentaranya.

Dalam hadis yang diriwayatkan oleh Bukhori dan Muslim, Abu Musa al-Asy’ari mengatakan: “Hari Asyura adalah hari yang diagungkan oleh orang-orang Yahudi dan dijadikan oleh mereka sebagai hari raya, maka Rasulullah SAW bersabda: “Berpuasalah kamu sekalian pada hari itu.”

Pengetua Rumah Kasih Nurhasanah, Ustaz Md Zawawi Ramli
(Kanan) Pengetua Rumah Kasih Nurhasanah, Ustaz Md Zawawi Ramli

Sehubungan itu, sempena mengimarahkan bulan Muharam, pihak Rumah Kasih Nurhasanah, menganjurkan program bagi menyemarakkan amalan sunat disamping meraikan anak yatim dan ibu tunggal di Galeri Nur Raudhah.

Galeri Nur Raudhah (GNR) yang terletak di Jalan Pimping, Ampang Height ditubuhkan pada awal tahun 2021, menempatkan pemilikan athar Rasulullah SAW sehingga kini memiliki 13 athar antaranya rambut, janggut, darah bekam dengan hasrat ianya menjadi milik umat Islam agar dapat lebih mengenali, mencintai dan merindui Rasulullah SAW seterusnya meraih syafaat serta bersama baginda di syurga kelak.

“Selain menghidupkan amalan sunat sepanjang 10 Muharam, kita juga mahu melatih jiwa anak-anak agar mudah mendekatkan diri kepada Allah”, jelas Pengetua Rumah Kasih Nurhasanah, Ustaz Md Zawawi Ramli.

Galeri Nur Raudhah

Pelbagai rangkaian aktiviti disusun bagi memberi semangat kepada anak-anak yatim di bawah bimbingannya untuk sama-sama menghargai dan menghayati perjuangan dan pengorbanan Rasulullah SAW.

Tambahnya, beliau berasa bertanggungjawab memberi contoh teladan yang baik bukan sahaja kepada anak-anak yatim dibawah bimbingannya, malah beliau mengajak semua umat Islam, untuk menghayati sekali gus mengimarahkan bulan Muharam dengan mengadakan pelbagai aktiviti sesuai mengikut sunnah Nabi Muhammad SAW.

“Sekurang-kurangnya dengan adanya program sebegini dapat mendidik dan melatih bukan saja anak-anak yatim di sini malah ia turut membuka mata masyarakat betapa pentingnya mendidik anak-anak sedari usia awal untuk mengetahui betapa banyaknya kelebihan bulan penting ini.

“Begitu banyak manfaat dan keistimewaan yang ada pada tarikh 10 Muharam ini, apa sahaja amalan baik akan dilipatgandakan pahalanya oleh Allah,” katanya.

Menurutnya, program bermula seawal jam 9 pagi dengan program gotong-royong memasak bubur asyura, sebelum diagihkan kepada anak-anak yatim oleh kelab anak yatim Malaysia.

“Selain menyantuni anak-anak yatim, kami cuba berkongsi rezeki dengan memberi bantuan kepada 40 keluarga Ahli Kelab Anak Yatim Malaysia,” katanya.

Menurutnya, beliau ingin merebut peluang menyemarakkan dan mewujudkan rasa kecintaan terhadap baginda Rasullah SAW dan meningkatkan rasa taqwa kepada Allah bertepatan dengan tujuan penubuhan Galeri Nur Raudhah itu sendiri dengan penganjuran sambutan 10 Muharam kali ini secara terbuka.

Anita Bikers Group
Anita Bikers Group

Majlis yang bermula pada petang khamis 27 Julai dimulai dengan bacaan Maulid, Marhaban, qasidah, tausiah dan doa 10 Muharam dan berakhir pada Jumaat jam 6.30 petang.

Turut diadakan Perjalanan Kembara Kasih Selawat Bersama-sama 30 orang anak yatim melibatkan perarakan motosikal berkuasa tinggi dari Galeri Nur Raudhah dengan kerjasama Anita Bikers Group bersama kelab kereta Black & White dan juga biker pengiring (KAY).

Semoga majlis ini diberkati Allah SWT,” kata Ustaz Zawawi.

Antara Kelebihan & Fadhilat 10 Muharram

Hari Yang Dicari Fadhilatnya

Kata Ibn Abbas R.Anhuma apabila ditanyakan mengenai puasa ‘Asyura, beliau berkata :

مَا رَأَيْتُ النَّبِيَّ صلى الله عليه وسلم يَتَحَرَّى صِيَامَ يَوْمٍ فَضَّلَهُ عَلَى غَيْرِهِ، إِلاَّ هَذَا الْيَوْمَ يَوْمَ عَاشُورَاءَ 

Maksudnya : Aku tidak pernah melihat Rasulullah SAW mengejar satu hari yang fadhilatnya lebih berbanding hari hari yang lain melainkan hari ini – iaitu hari ‘Asyura –

Riwayat al-Bukhari (2006)

Kata al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani RahimahullahIni menunjukkan bahawa puasa ‘Asyura lebih afdhal berbanding hari hari lain untuk berpuasa selepas Ramadhan. Zahir hadis Muslim pula menunjukkan bahawa puasa pada hari ‘Arafah lebih afdhal berbanding puasa pada hari ‘Asyura. Dikatakan hikmahnya adalah kerana puasa ‘Asyura dinisbahkan kepada Musa AS manakala puasa ‘Arafah pula dinisbahkan kepada Nabi Muhammad SAW. Oleh yang demikian, puasa ‘Arafah lebih afdhal. [Fath Al-Bari. Dar Al-Salam, 4/315]

Hari Nabi Musa AS Diselamatkan Manakala Firaun dan Pengikutnya Ditenggelamkan

Di dalam al-Sahihain dari Ibn Abbas R.Anhuma beliau berkata:

أَنَّ النَّبِيَّ صلى الله عليه وسلم لَمَّا قَدِمَ الْمَدِينَةَ وَجَدَهُمْ يَصُومُونَ يَوْمًا، يَعْنِي عَاشُورَاءَ، فَقَالُوا هَذَا يَوْمٌ عَظِيمٌ، وَهْوَ يَوْمٌ نَجَّى اللَّهُ فِيهِ مُوسَى، وَأَغْرَقَ آلَ فِرْعَوْنَ، فَصَامَ مُوسَى شُكْرًا لِلَّهِ‏.‏ فَقَالَ ‏ “‏ أَنَا أَوْلَى بِمُوسَى مِنْهُمْ ‏”‏‏.‏ فَصَامَهُ وَأَمَرَ بِصِيَامِهِ‏.‏

Maksudnya : Rasulullah SAW tiba ke Madinah dan baginda dapati golongan Yahudi  berpuasa pada hari Asyura. Kata mereka : Ini adalah hari yang mulia yang mana Allah selamatkan Musa dan kaumnya pada hari ini. Hari ini juga Allah menenggelamkan firaun dan kaumnya. Lalu Musa berpuasa pada hari ini sebagai tanda kesyukuran. Kata Rasulullah SAW : Aku lebih utama ke atas Musa berbanding mereka. Maka baginda pun berpuasa dan memerintahkan untuk berpuasa pada hari tersebut.

Riwayat Al-Bukhari (3397), Muslim (3/149-150)

Kata al-Imam al-Maziri: Perkhabaran golongan Yahudi tidak diterima. Ada kemungkinan bahawa Nabi SAW diwahyukan kepadanya akan kebenaran mereka terhadap apa yang mereka ucapkan atau telah mutawatir perkhabaran tersebut sehingga baginda mengetahuinya. Inilah pendapat yang terpilih di sisi Al-Imam Al-Nawawi Rahimahullah. [Al-Nawawi. Syarah Sahih Muslim,  7/204]

Diampunkan Dosa Setahun Yang Lalu

Dari Abu Qatadah : Seorang lelaki bertanya kepada Rasulullah SAW tentang puasa ‘Asyura, maka kata Baginda SAW :

 أَحْتَسِبُ عَلَى اللَّهِ أَنْ يُكَفِّرَ السَّنَةَ الَّتِي قَبْلَهُ 

Maksudnya : Aku berharap ke atas Allah agar ia dapat mengampunkan dosa setahun yang berlalu.

Riwayat Muslim (1162)

Kata Abdul Wahhab bin al-Khaffaf di dalam Kitab Al-Siyam: Telah berkata Qatadah: Dikatakan bahawa puasa ‘Asyura adalah kaffarah (pengampun dosa) bagi lelaki yang mengabaikan zakat hartanya. [Lathaif al Ma’arif. Al-Maktab Al Islami, hlm.101]

Diceritakan dari Fath bin Syakhraf beliau berkata : Aku memecah-mecahkan roti setiap hari untuk memberi makan kepada semut. Apabila tibanya hari ‘Asyura, mereka tidak memakannya.

Diriwayatkan juga oleh Al-Qadir Billah Al-Khalifah Al-Abbasi bahawa perkara tersebut turut berlaku kepada dirinya dan beliau berasa pelik. Lalu beliau bertanya kepada Syeikh Abu Al-Hasan Al-Qazwini lalu Syeikh itu berkata: Hari ‘Asyura ini turut berpuasa padanya semut. Dikatakan, semut juga turut berpuasa pada hari ‘Asyura.[1] [Lathaif al Ma’arif. Al-Maktab Al Islami, hlm.100]

Adapun menjadikan hari ini sebagai hari bersedih sebagaimana yang dilakukan oleh golongan Rafidhah atas kematian Al-Husain Bin ‘Ali RA, maka kata Al-Hafiz Ibn Rajab Al-Hanbali :

Amalan bersedih ini adalah amalan golongan yang tersilap dalam amalannya dan dia menyangka bahawa dia sedang melakukan amalan yang terbaik. Allah dan Rasulnya SAW tidak pernah memerintahkan untuk kita menjadikan hari hari musibah dan kematian para Nabi sebagai hari untuk bersedih. Bagaimana pula bersedih untuk orang yang berada di bawah mereka (dari sudut darjat)? [Lathaif al Ma’arif. Al-Maktab Al Islami, hlm.103]

Hari Diterimanya Taubat Adam AS

Disebut di dalam kitab Al-Durr Al-Manthur karya Al-Imam Al-Suyuthi sebuah riwayat dari Abdul Wahhab Al-Khaffaf, dari Sa’id, dari Qatadah beliau berkata :

Kami berbincang bahawa hari yang Allah menerima taubat Adam padanya adalah pada hari ‘Asyura. Dan Adam diturunkan ke dunia juga adalah pada hari ‘Asyura. [Al-Durr Al-Manthur. Dar al-Fikr, 1/146]

Untuk maklumat lanjut, sila layari


Kongsi berita di Nokomen.com
Nokomen.comBerita Terkini Hiburan Sensasi Malaysia

PERINGATAN: 
Nokomen.com tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia merupakan pandangan peribadi pemilik akaun dan bukan sesekali daripada pihak kami. Segala risiko akibat sebarang komentar yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun itu sendiri.

You may also like

Leave a Comment

Are you sure want to unlock this post?
Unlock left : 0
Are you sure want to cancel subscription?
MSL 2025