Industri kreatif Malaysia kini berada di persimpangan penting dalam usaha memperkukuh hak cipta dan memastikan keadilan dalam pengagihan royalti kepada para pencipta, penulis lagu, komposer, penyanyi, dan pemuzik. Persatuan Karyawan Malaysia tampil menyatakan sokongan padu terhadap Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) serta pelaksanaan Garis Panduan Hak Cipta Organisasi Pengurusan Kolektif 2025.
Pada masa yang sama, kami membantah sekeras-kerasnya tindakan mahkamah oleh badan kutipan royalti yang cuba menghalang pelaksanaan garis panduan ini.
Akta Hak Cipta 1987 merupakan asas utama perlindungan hak cipta di negara ini. Ia memberikan hak eksklusif kepada pencipta, penulis, komposer, pelaku, dan pemegang hak lain terhadap karya asli mereka. Akta ini telah beberapa kali dipinda bagi menyesuaikan diri dengan perkembangan industri kreatif global dan keperluan semasa.
Penubuhan badan seperti Music Authors’ Copyright Protection Berhad (MACP) dan Public Performance Malaysia Sdn Bhd (PPM) adalah hasil langsung daripada akta ini, yang bertujuan melindungi kepentingan penggiat seni tempatan.

Pindaan penting pada tahun 2012 memperkukuhkan lagi hak pelaku seperti pemuzik dan penyanyi. Pindaan ini mengangkat kedudukan pelaku agar lebih kesamarataan atau nisbah 50:50 kepada pencipta dari segi pengiktirafan hak cipta, selaras dengan piawaian antarabangsa seperti WIPO Performers And Phonograms Treaty 1996 (WPPT 1996) yang turut diratifikasi oleh Malaysia.
Selain itu, pindaan 2012 juga membuka jalan kepada pengawalseliaan yang lebih jelas terhadap badan pelesenan, yang kini dikenali sebagai Organisasi Pengurusan Kolektif (CMO). Sebelum ini, CMO beroperasi dalam kerangka undang-undang yang longgar dan pemantauan yang terhad.
Pindaan seterusnya pada tahun 2022 memperkukuhkan lagi perlindungan dan penguatkuasaan hak cipta. Melalui Seksyen 27M, Pengawal Hak Cipta diberikan kuasa untuk mengeluarkan garis panduan yang wajib dipatuhi oleh semua CMO. Ini merupakan satu langkah penting dalam memastikan tadbir urus yang lebih telus dan adil dalam industri muzik dan kreatif di Malaysia.
Pada 17 Januari 2025, MyIPO telah memperkenalkan Garis Panduan Hak Cipta Organisasi Pengurusan Kolektif 2025 sebagai respons kepada pelbagai aduan daripada penggiat muzik dan pengguna karya. Garis panduan ini memberi penekanan kepada aspek ketelusan, pertanggungjawaban, dan tadbir urus yang baik dalam pengurusan kutipan serta pengagihan royalti.

Bagi para pencipta, penulis lagu, komposer, penyanyi, dan pemuzik, garis panduan ini membawa banyak manfaat yang telah lama dinantikan. Ia mewajibkan semua CMO untuk lebih telus dalam urusan kutipan dan pengagihan royalti. Dengan adanya garis panduan ini, para pemegang hak kini dapat mengetahui secara jelas bagaimana royalti dikutip, dibahagi, dan siapa penerima sebenar. Sebelum ini, proses ini sering kali kabur dan tidak telus.
Selain itu, garis panduan ini turut memperkukuh tadbir urus dalam organisasi. Setiap ahli diberi hak suara yang adil dalam mesyuarat agung dan pemilihan lembaga, sekali gus menghapuskan sistem pengundian yang berat sebelah. Mekanisme aduan yang jelas juga diperkenalkan bagi memastikan kebajikan ahli sentiasa terjaga.
Paling penting, garis panduan ini melindungi hak lebih 8,000 pemegang hak tanpa mengira tahap populariti mereka. Semua ahli kini dilayan dengan lebih adil dan setara, membolehkan mereka menikmati hasil usaha kreatif secara saksama.
Secara keseluruhan, Garis Panduan MYIPO 2025 adalah satu pembaharuan yang memperkukuh kedudukan pemegang hak dan memulihkan kepercayaan terhadap sistem kutipan royalti di Malaysia. Ia meletakkan hak pencipta sebagai keutamaan, di samping melindungi kepentingan pengguna karya muzik yang merupakan pembayar lesen utama dan sumber pendapatan kepada pencipta muzik.

Kami turut menimbulkan persoalan mengenai tindakan pihak CMO yang mengambil langkah undang-undang terhadap MyIPO dan kerajaan tanpa mengadakan perbincangan rasmi terlebih dahulu bersama para ahli. Tiada terdapat sebarang komunikasi rasmi antara CMO dan ahli sebelum tindakan mahkamah dijalankan, yang menimbulkan keraguan tentang sejauh mana keputusan tersebut mencerminkan kehendak sebenar majoriti ahli.
Lebih membimbangkan, kami tidak mengetahui siapakah individu atau kumpulan yang bertanggungjawab mengheret MyIPO dan kerajaan ke mahkamah. Tindakan sedemikian seharusnya dibincangkan secara menyeluruh bersama ahli terlebih dahulu sebelum sebarang keputusan atau tindakan diambil. Keputusan yang dibuat tanpa rundingan dan persetujuan ahli berpotensi menjejaskan kepercayaan dan keharmonian dalam industri kreatif.
Persatuan Karyawan Malaysia membantah sekeras-kerasnya tindakan mahkamah oleh badan kutipan royalti yang cuba menghalang pelaksanaan garis panduan ini. Usaha yang dilakukan oleh MyIPO adalah sebahagian daripada inisiatif berterusan untuk memperkasakan harta intelek di Malaysia dan harus diteruskan demi kemajuan industri kreatif negara.
Garis Panduan Hak Cipta Organisasi Pengurusan Kolektif 2025 adalah langkah besar ke hadapan dalam memastikan keadilan dan ketelusan dalam industri muzik Malaysia. Persatuan Karyawan Malaysia berdiri teguh menyokong MyIPO dan menyeru semua pihak untuk bersama-sama memartabatkan hak cipta demi masa depan industri kreatif tanah air.
Majulah Hak Cipta, Majulah MYIPO untuk Negara!

PERINGATAN:
Nokomen.com tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia merupakan pandangan peribadi pemilik akaun dan bukan sesekali daripada pihak kami. Segala risiko akibat sebarang komentar yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun itu sendiri.