“Keusahawanan adalah tulang belakang ekonomi negara”— kata-kata ini menjadi inspirasi utama penganjuran Hari Usahawan Negara 2025, sebuah inisiatif yang mengangkat martabat usahawan ke tahap lebih tinggi.
Malam 13 Ogos 2025, Restoran Saloma Kuala Lumpur dipenuhi dengan wajah-wajah penuh harapan. Di dalam bangunan warisan negara dengan suasana elegan, para usahawan dari pelbagai latar — daripada peniaga warung kecil hingga pemilik syarikat bertaraf eksport — berkumpul bagi meraikan detik istimewa Pra Pelancaran Hari Usahawan Negara 2025.
Acara anjuran Dewan Perniagaan Usahawan Malaysia (DPUM) ini disempurnakan oleh Y.A.M Raja Saidatul Mardiah Binti Almarhum Sultan Idris A’fifullah Shah, sebagai tanda sokongan terhadap aspirasi memartabatkan usahawan tempatan ke persada dunia.

Turut hadir, barisan tetamu kehormat termasuk Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Dato’ Shaharuddin Abu Sohot, Ketua Pegawai Eksekutif FINAS, Datuk Azmir Saifuddin Mutalib, Senior Asisten Komisioner Polis (SAC) Datuk Yusni Mohd Jamil dari Cawangan Khas Bukit Aman, serta Ketua Pengarah Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Zulfikri Osman.
Pra pelancaran turut menyaksikan majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara DPUM dan Anjung MalaysiaKu X Foodie Fiesta 2025, yang diwakili oleh Pengarah Urusan Raydiates, Ramley Zainal. Perjanjian ini membuka ruang kerjasama strategik dalam membawa usahawan dan selebriti ke platform lebih besar, sekali gus memperluas capaian pasaran serta peluang promosi.
Presiden DPUM, Datuk Seri Abu Hassan Mohd Nor, dalam ucapannya menekankan betapa pentingnya Hari Usahawan Negara sebagai platform utama untuk mengumpulkan semua golongan usahawan dari pelbagai latar belakang, dari usahawan kecil hingga ke usahawan yang telah berjaya menjalankan perniagaan antarabangsa.
Hari Usahawan Negara 2025 akan berlangsung selama enam hari, bermula dari 11 hingga 16 September 2025, bertempat di perkarangan Stadium Nasional Bukit Jalil.


Berbeza dengan acara sebelum ini yang lebih tertumpu kepada usahawan tempatan sahaja, kali ini HUN membuka ruang kepada penyertaan antarabangsa seperti China, Vietnam, Thailand, Indonesia, Pakistan, dan beberapa negara Timur Tengah yang akan mempamerkan produk dan perkhidmatan masing-masing.
China dijangka menjadi negara dengan penyertaan terbesar dengan kira-kira 150 hingga 200 lot pameran, manakala jumlah keseluruhan lot pameran dianggarkan mencapai 1,000 lot.
Apa yang menarik adalah penganjuran Hari Usahawan Negara ini memberi ruang bukan sahaja kepada syarikat besar dan perusahaan sederhana, malah menyediakan zon khusus untuk peniaga kecil dan mikro seperti penjaja di warung dan kedai kecil. Ini menunjukkan keunikan dan pemahaman DPUM bahawa setiap usahawan, tidak kira kecil atau besar, harus diberikan peluang yang sama untuk berkembang dan berdaya saing.
“Kita ingin melihat peniaga kecil warung dapat berdiri sebaris dengan pengeksport antarabangsa. Inilah semangat sebenar keusahawanan yang ingin kita pupuk,” tegas beliau.
Beliau turut mendedahkan maklumat penting mengenai penyertaan pameran: “Kami sediakan harga booth yang sangat berpatutan mulai RM1,500 untuk usahawan tempatan, dengan pakej paling premium dihadkan pada RM20,000 sahaja. Ini bagi memastikan semua peringkat usahawan mampu menyertai.”

Selain pameran produk, acara ini turut mendapat sokongan daripada pelbagai kementerian dan agensi kerajaan, termasuk Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya serta MARA, yang masing-masing menyumbang sebagai rakan strategik dalam memperluaskan peluang perniagaan dan eksposur usahawan tempatan ke peringkat antarabangsa.
Datuk Seri Abu Hassan turut berkongsi mengenai usaha memperkenalkan mesin-mesin dan teknologi baru dalam sektor perniagaan melalui kerjasama dengan rakan strategik seperti PROMAS melalui MyTech, di mana usahawan kecil diberi peluang untuk menggunakan teknologi moden bagi meningkatkan pengeluaran dan kualiti produk mereka.
Satu lagi insentif penting yang diumumkan adalah penyediaan pinjaman tanpa faedah bagi usahawan dengan jumlah permohonan sehingga RM20,000, salah satu cara untuk membantu golongan ini memulakan atau mengembangkan perniagaan mereka tanpa bebanan kewangan yang berat.
Menurut beliau, ini adalah kali kedua Hari Usahawan Negara namun yang pertama dianjurkan dengan konsep lebih besar dan inklusif melebihi acara yang pernah diadakan sebelum ini. Misi DPUM adalah untuk menjadikan Hari Usahawan Negara sebagai acara tahunan tetap yang diiktiraf setara dengan sambutan hari-hari khas lain seperti Hari Guru dan Hari Tentera.

Beliau turut menegaskan bahawa perjuangan ini bukan berlandaskan politik, tetapi demi membina platform berterusan yang memberi manfaat kepada komuniti usahawan di seluruh negara.
Acara ini juga akan menyajikan pelbagai aktiviti menarik seperti kehadiran selebriti terkenal, aktiviti sukan berbasikal, cabutan bertuah yang menyediakan hadiah menarik termasuk basikal lipat BROMPTON berharga RM17,000. Semua ini diatur bagi menarik minat para pengunjung supaya bukan sahaja menjadi platform jual beli, malah juga satu festival komuniti yang membawa kegembiraan dan inspirasi.
Datuk Seri Abu Hassan menutup ucapannya dengan harapan agar kerjasama daripada pelbagai pihak termasuk kementerian dan rakan strategik terus diperkukuh demi menjayakan Hari Usahawan Negara dan memperkasakan usahawan Malaysia ke tahap lebih tinggi.
“Kita memerlukan sokongan semua – dari kementerian, agensi kerajaan sehingga usahawan sendiri untuk menjayakan acara bersejarah ini. Ini bukan sekadar pameran, tetapi gerakan membangunkan ekonomi usahawan negara.”


Hari Usahawan Negara 2025 menyasarkan 500,000 pengunjung menjanjikan satu ruang yang dinamik dan penuh peluang bagi usahawan tempatan dan luar negara untuk bertemu, berinteraksi, memperluaskan rangkaian, dan memperkukuh perniagaan masing-masing. Saya amat teruja untuk melihat perubahan besar yang akan dibawa oleh acara ini dalam landskap keusahawanan negara pada masa akan datang.
Acara ini juga dilihat sebagai titik permulaan untuk melahirkan lebih ramai usahawan berjaya yang mampu membina perniagaan berskala besar, sekali gus mengangkat nama Malaysia di mata dunia.
Bagi pengunjung mahupun usahawan yang berminat menyertai, maklumat lanjut boleh didapati melalui laman Facebook rasmi DPUM. Marilah bersama-sama menjayakan Hari Usahawan Negara 2025!

PERINGATAN:
Nokomen.com tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia merupakan pandangan peribadi pemilik akaun dan bukan sesekali daripada pihak kami. Segala risiko akibat sebarang komentar yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun itu sendiri.