Home Hiburan‘Banglo Seksyen 12’ Menghantui Pawagam 25 Januari 2024

‘Banglo Seksyen 12’ Menghantui Pawagam 25 Januari 2024

by NoKomen
5.4K views
Banglo Seksyen 12 di Pawagam 25 Januari 2024

Malam Gala Tayangan Perdana Filem “Banglo Seksyen 12,” yang diinspirasikan daripada sebuah novel seram karya Hasrudi Jawawi berjudul ‘Banglo Seksyen 12’ terbitan Buku Prima berlangsung semalam, menarik perhatian peminat filem dan para profesional industri filem. Filem pertama hasil karya pelakon yang mula dikenali melalui drama ‘Puteri’, Intan Ladyana mencipta sejarahnya tersendiri dimana beliau memainkan peranan 3 dalam 1 ‘on first take’, selaku pelakon, pengarah dan juga penerbit, dijadualkan menghantui penonton bermula dari 25 Januari 2024.

Membuat kemunculan sulungnya di layar lebar menerusi filem Tipah Tertipu The Movie (2006) lakonan bersama kumpulan Ruffedge arahan pelakon dan pengarah Ahmad Idham sehingga kini keseluruhannya sebanyak 26 filem telah dilakonkannya. Sinonim dengan cerita aksi dan seram menjadikan ianya genre pilihan bagi ‘baby’ (filem) pertama saya yang turut memetik judul asal novel pilihan ‘Banglo Seksyen 12’, jelasnya yang mengakui jiwanya lebih dekat dengan cerita berunsurkan seram.

KIRI: Faez Malek, Hariz Hamdan, Silfeny Osman, Intan Ladyana, Syed Muhamad Izzudin Syed Akil, Dharma Nasution & Mustaqim Bahadon
KIRI: Faez Malek, Hariz Hamdan, Silfeny Osman, Intan Ladyana, Syed Muhamad Izzudin Syed Akil,
Dharma Nasution & Mustaqim Bahadon

Sebagai penerbit melalui syarikat produksinya, PRISMA PICTURES SDN BHD dan diedarkan oleh METROWEALTH, mengucapkan terima kasih yang tulus kepada Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) serta Perbadanan Kemajuan Filem Malaysia (FINAS) atas sokongan mereka melalui Dana Kandungan Digital (DKD). Jelasnya, sokongan kewangan ini memainkan peranan penting dalam memastikan kejayaan penghasilan filem dan ketersediaannya kepada penonton di pawagam.

Ditanya mengenai kos pembikinan filem ‘Banglo Seksyen 12’, “Kami menggunakan kesemua peruntukan dana daripada geran Program Inkubator diperkenalkan FINAS sebanyak RM500,000 yang ternyata kosnya melebihi angka tersebut, selebihnya kami ‘top-up’. Dimaklumkan juga, Prisma Pictures merupakan syarikat pertama mendapat geran berkenaan dan berterima kasih kepada FINAS terutamanya Ahmad Idham kerana merealisasikan impian filem pertamanya yang turut dibantu dan dibimbing oleh pengarah terkenal, Aziz M. Osman.”

Barisan pelakon Banglo Seksyen 12

Dharma Nasution, pengarah bersama Intan Ladyana, dengan berani mempertaruhkan bakat-bakat baharu antaranya Hariz Hamdan, Silfeny Osman, Aniq Suhair, Faez Malek, Farah Yasmin, Faris Fitri selain Intan Ladyana sendiri dan Mustaqim Bahadon sebagai peranan utama.

“Mengenang kembali sewaktu pengambaran dilakukan pada tahun 2020 ketika dunia berdepan pandemik Covid-19, pelbagai rintangan dan kekangan terpaksa diharungi, setelah 3 tahun akhirnya kini barulah dapat ditayangkan dan mengharapkan filem ini dapat diterima dan mendapat sambutan pelbagai lapisan masyarakat,” ujarnya.

Mengulas lanjut, sebanyak 50% hingga 60% daripada cerita asal terpaksa diolah dek kerana pandemik tersebut. Antaranya dimana ketika itu penglibatan anggota penjawat awam terutamanya anggota polis amatlah terhad dan sukar kerana keperluan tanggungjawab yang lebih besar dalam mengawal perebakan Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Lalu, watak Hairy lakonan Mustaqim Bahadon dalam cerita asal yang merupakan seorang Inspektor Polis terpaksa ditukarkan sebagai penyiasat Paranormal.

Banglo Seksyen 12

“Banglo Seksyen 12” mengisahkan plot pembunuhan misteri yang melibatkan sekumpulan remaja pada tahun 2006 di sebuah banglo, yang seterusnya menjadi lokasi pilihan bagi kumpulan paranormal untuk menghasilkan kandungan digital. Misteri ini semakin dalam apabila penyiasat paranormal profesional menemui mayat tanpa kepala di tempat itu. Seorang yang terselamat, Fahmi, wajahnya berlumuran darah, ditenangkan oleh Dr. Saleha, seorang pakar psikologi. Fahmi mendedahkan bahawa peristiwa itu mencerminkan apa yang berlaku pada pembunuhan 2006. Dr. Saleha, yang pernah merawat seorang yang terselamat dari kejadian tersebut, mendesak Fahmi untuk menceritakan peristiwa aneh yang membawa kepada kehilangan dan kematian rakan-rakannya. Fahmi menceritakan mengenai makhluk besar yang membunuh rakan-rakannya di dalam banglo itu, meninggalkan penyiasat bertanya-tanya sama ada entiti itu hanya ilusi atau manifestasi yang dipuja oleh sekumpulan remaja sebelumnya.

Persoalannya, mengapakah kejadian yang menimpa sering berulang? Siapakah punca disebaliknya dan bagaimanakah pengakhirannya? Jom ramai-ramai ke pawagam berdekatan bermula 25 Januari 2024 di seluruh pawagam di Malaysia.


Bahasa: Melayu
Sari Kata: Inggeris
Klasifikasi: 13
Tarikh Tayangan: 25 Januari 2024
Waktu Tayangan : 1 Jam 28 Minit
Genre: Seram
Terbitan: Prisma Pictures Sdn Bhd
Pengarah: Dharma Nasution & Intan Ladyana
Penerbit: Syed Muhamad Izzudin Syed Akil
Dharma Nasution
Penerbit Eksekutif: Intan Ladyana
Pengedar: Metrowealth (MiG)
Pelakon: Intan Ladyana, Mustaqim Bahadon, Hariz Hamdan, Silfeny Osman,
Aniq Suhair, Faez Malek, Farah Yasmin, Faris Fitri dan ramai lagi.


Apa Kata Nokomen? – Banglo Seksyen 12

Menurut pengamatan dan interpertasi Nokomen secara jujurnya, tidak keterlaluan dinyatakan filem Banglo Seksyen 12 ini boleh dikatakan agak menarik dipertontonkan memandangkan sebagai filem pertama selaku penerbit dan pengarah bersama Intan Ladyana bersama Dharma Nasution, harapan yang diletakkan sebelum menyaksikannya tidaklah terlalu tinggi.

Banyak yang boleh diperbaiki namun pujian dan keberanian haruslah dipuji! Mempertaruhkan kelainan dalam penceritaan dengan mengaplikasikan pendekatan plot ‘nonlinear narrative’ atau Analepsis dan Prolepsis dengan erti kata lain menggunakan unsur “”flashback” dan “flashforward” dimana naratif penyusunan semula plot-plot tertentu dengan “flashback” ke permulaan plot penceritaan (analepsis) atau “flashforward” seketika namun masih dalam urutan kronologi penceritaan (prolepsis) seperti yang sering diterapkan dalam filem-filem barat.

Dapat disaksikan dengan jelas perubahan plot yang membezakan tahun kejadian dari tahun 2006 dan 2026, walaupun bagi sesetengah penonton mungkin merasakan kekeliruan dalam gaya olahan namun masih kekal dalam konteks penceritaan dan saling berhubung kait (kesinambungan) pada waktu dan tarikh yang sama berlakunya kejadian, pada tarikh keramat 6 haribulan 6.

Dari segi lakonan, tidak dapat disangkal kerana semuanya hebat-hebat belaka namun yang lebih jelas dan memberikan impak adalah melalui lakonan Faez Malek seolah-olah beliau merupakan watak utama. Keberkesanan lakonan yang dijiwai dengan baik melalui emosi yang disampaikan walaupun ini merupakan filem pertama lakonannya.

Apakah sinonim tanpa antonim, pasti ada sesuatu dalam sekecil-kecil perkara lebih-lebih lagi dalam dunia perfileman. Kritikan adalah sinonim dalam menjadikan antonim lebih baik di masa mendatang. Penggunaan gaya atau pergerakan kamera dapat disifatkan sebagai ‘monotonous’ atau berulang. Sesetengah getaran masih boleh diterima berkemungkinan mengambil konsep ‘diegetic cinematography’ yang menjadikan kamera sebagai sebahagian daripada watak fizikal atau objek yang mereka lihat, gunakan atau berinteraksi dalam penceritaan seperti filem “The Blair Witch Project”.

Keseluruhannya, sukar diramalkan siapa disebalik punca segalanya. Jawapannya pasti membuatkan anda tertanya dan terfikir seterusnya merungkai misteri Banglo Sekyen 12!

Pengakhirannya, Nokomen yakin akan ada kesinambungan ‘Banglo Seksyen 12’ – Part II kelak. Diharapkan segala kelemahan diperbaiki dan ditambah baik seterusnya dapat menembusi pasaran antarabangsa atau setidaknya menyaingi filem seram hebat lainnya. Insha Allah…

@nokomendotcom OST Filem Banglo Seksyen 12 oleh @monosterio_officials #bangloseksyen12 #gsc #lalaport #hantu #seram #horror ♬ original sound – Nokomen

Kongsi berita di Nokomen.com
Nokomen.comBerita Terkini Hiburan Sensasi Malaysia

PERINGATAN: 
Nokomen.com tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia merupakan pandangan peribadi pemilik akaun dan bukan sesekali daripada pihak kami. Segala risiko akibat sebarang komentar yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun itu sendiri.


Kongsi berita di Nokomen.com
Nokomen.comBerita Terkini Hiburan Sensasi Malaysia

PERINGATAN: 
Nokomen.com tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia merupakan pandangan peribadi pemilik akaun dan bukan sesekali daripada pihak kami. Segala risiko akibat sebarang komentar yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun itu sendiri.

You may also like

Leave a Comment

Are you sure want to unlock this post?
Unlock left : 0
Are you sure want to cancel subscription?
MSL 2025