Home HiburanMajlis Sumbangsih PEKEMA Prihatin Hargai Dedikasi Artis Veteran

Majlis Sumbangsih PEKEMA Prihatin Hargai Dedikasi Artis Veteran

by NoKomen
1.8K views
Majlis Sumbangsih PEKEMA Prihatin 2024

Majlis Sumbangsih PEKEMA Prihatin yang diadakan pada 23 November 2024 di Grand Ballroom, Pullman Kuala Lumpur City Centre, telah menjadi satu peristiwa yang penuh makna bagi para penggiat seni veteran dan uzur tanah air.

Persatuan Karyawan Malaysia (KARYAWAN) merakamkan penghargaan yang mendalam kepada Yayasan PEKEMA atas sumbangan kewangan sebanyak RM5,000 kepada 30 orang penerima, termasuk penyanyi dan pelakon veteran yang telah banyak berkorban untuk dunia seni.

Sumbangan disampaikan oleh Pengerusi PEKEMA, Datuk Hj. Mohamd Nazari Noordin bersama Penasihat PEKEMA, Dato Hj Zainuddin Abd Rahman dan Timbalan Presiden PEKEMA, Dato Hj. Wan Sazrudeen Wan Zaid serta Pengerusi KARYAWAN, Datuk Khadijah Ibrahim.

Presiden KARYAWAN, Dato’ Freddie Fernandez, dalam ucapannya menekankan betapa pentingnya sumbangan ini sebagai simbol kasih sayang dan penghargaan terhadap pengorbanan para seniman.

Beliau menyatakan, “Artis-artis veteran dan para penggiat ini adalah warisan seni yang telah menghiburkan kita semua melalui karya-karya yang tidak ternilai harganya. Kini, setelah mereka memberikan segalanya, sudah tiba masanya bagi kita untuk memberikan sedikit bantuan kepada mereka yang memerlukan.” Ucapan ini menggambarkan betapa besarnya jasa mereka dalam mengukir sejarah seni negara.

Majlis Sumbangsih PEKEMA Prihatin ini bukan sahaja meraikan sumbangan kewangan tetapi juga memberi pengiktirafan kepada perjalanan hidup dan cabaran yang dihadapi oleh para penerima.

Antara penerima sumbangan ialah Zaiton Sameon, seorang penyanyi yang terkenal dengan lagu “Menaruh Harapan”, yang kini berdepan dengan masalah kesihatan akibat kemalangan. Begitu juga dengan Mak Jah dan Mak Wan, dua pelakon veteran yang telah berjuang melawan pelbagai penyakit serius. Keadaan mereka mencerminkan realiti pahit yang dihadapi oleh banyak artis veteran di negara ini.

Dato’ Freddie juga berkongsi kisah sedih mengenai kehilangan Datuk S. Atan, seorang penerima sumbangan yang baru sahaja meninggal dunia sebelum majlis berlangsung.

Beliau turut berkongsi menceritakan pengalaman menziarahi Harun Hashim, seorang lagi penerima sumbangan, di mana isteri beliau sedang bertarung dengan kanser payudara tahap empat.

“Begitulah sedikit kisah yang dapat dikongsikan hari ini tentang beberapa penerima sumbangan ini. Mereka adalah para individu yang telah mengukir sejarah seni tanahair dengan darah, peluh, dan air mata mereka,” ujarnya.

Sumbangan daripada Yayasan PEKEMA ini bukan sekadar bantuan kewangan tetapi juga satu pengiktirafan kepada segala usaha dan dedikasi para seniman sepanjang hayat mereka.

Dato’ Freddie mengharapkan agar inisiatif ini dapat memberikan sedikit ketenangan dan keselesaan kepada penerima dalam menjalani kehidupan seharian mereka. “Kami berharap dengan sumbangan ini, para seniman yang telah berkhidmat untuk negara dapat merasai penghargaan yang sewajarnya,” tambah beliau.

Majlis Sumbangsih PEKEMA Prihatin ini jelas menunjukkan bahawa masyarakat tidak pernah melupakan jasa-jasa besar para seniman walaupun di saat-saat mereka memerlukan bantuan.

Dengan usaha murni daripada Yayasan PEKEMA dan sokongan semua pihak, diharapkan agar lebih banyak inisiatif seperti ini dapat dilaksanakan demi kesejahteraan golongan seni tanah air.

Senarai Penerima Sumbangan Majlis Sumbangsih PEKEMA Prihatin

Zaiton Sameon
Zaiton Sameon, yang memulakan kariernya pada 1980-an dengan lagu “Menaruh Harapan”, mengalami kemalangan ngeri pada 1990 yang mengakibatkan beliau mengalami Traumatic Brain Injury dan menjadi OKU fizikal.

Maimunah Ahmad (Mak Jah)
Maimunah Ahmad, lebih dikenali sebagai Mak Jah, seorang pelakon filem dan drama, didiagnosis dengan kanser rahim tahap satu pada 2014 dan juga menghadapi masalah kencing manis serta darah tinggi.

Halimatussa’diah Mohd Daud (Mak Wan)
Halimatussa’diah Mohd Daud, atau Mak Wan, aktif dalam industri hiburan sejak akhir 1990-an, kini berdepan dengan diabetes, darah tinggi, dan asma.

Shuaib Shaari (Shuaib Freedom)
Shuaib Shaari, anggota kumpulan Freedom, telah diserang strok sejak 2017 yang menyukarkan pergerakannya.

Mariam Ahmad
Ratu Keronchong Malindo, Mariam Ahmad, penyanyi keroncong terkenal yang pernah menjuarai Bintang Radio RTM pada 1960-an, kini berulang-alik ke hospital untuk rawatan pelbagai penyakit.

Salim Ibrahim (Dr. Sam Rasputin)
Salim Ibrahim, dikenali sebagai Dr. Sam Rasputin, terkenal pada 1980-an dengan lagu patriotik seperti “Saya Anak Malaysia”, kini dalam keadaan uzur dan memerlukan rawatan berterusan.

Murali Abdullah
Murali Abdullah, pengarah drama veteran, menghadapi kesan jangka panjang dari strok yang pernah dialaminya.

Norlia Ghani
Norlia Ghani, pelakon versatil sejak 1970-an, kini menghidap penyakit jantung dan tekanan darah tinggi.

Mohd Ali Ismail (Ali XPDC)
Mohd Ali Ismail (Ali XPDC), vokalis utama kumpulan rock XPDC, telah beberapa kali dimasukkan ke hospital akibat serangan angin ahmar dan strok.

Shahrin Salehuddin (Sheqal)
Shahrin Salehuddin (Sheqal), penyanyi popular pada 1990-an, kini berhadapan dengan masalah buah pinggang dan pernah diserang strok beberapa kali.

Roslan Salleh
Roslan Salleh, pelakon terkenal dalam filem seperti Sembilu 2 dan Munafik 2, kini menghidap penyakit kencing manis yang serius selama lebih 10 tahun.

Zaleha Hamid
Zaleha Hamid, penyanyi tradisional dan pop Melayu yang aktif pada 1960-an, diserang angin ahmar pada 2019 dan kini mengalami masalah saraf dan minor strok.

Muhammad Latiff bin Ismail (Isma Aliff)
Muhammad Latiff bin Ismail (Isma Aliff), pelakon terkenal pada 1980-an, sedang berhadapan dengan angin ahmar serta jangkitan jantung dan paru-paru.

Wan Jusoh Wan Deraman (Yus Barat)
Wan Jusoh Wan Deraman (Yus Barat), pelakon lagak ngeri pada 1980-an, kini tidak aktif kerana masalah jantung yang memerlukan rawatan di Institut Jantung Negara (IJN).

Ku Nazhatul Shima Ku Kamaruzzaman (Shima)
Ku Nazhatul Shima Ku Kamaruzzaman (Shima), penyanyi rock wanita pada 1990-an, menghidap bronchitis dan masalah saraf, sakit belakang, dan lemah pundi kencing.

Sazali Bin P. Ramlee
Sazali Bin P. Ramlee, anak kepada seniman P. Ramlee, kini menghadapi komplikasi diabetes dan memerlukan rawatan intensif, serta berhadapan dengan masalah kaki akibat kemalangan.

Siti Haslinda Abdul Hamid (Shashah Hamid)
Siti Haslinda Abdul Hamid (Shashah Hamid), bekas model terkenal sejak 1980-an, sukar mendapatkan tawaran model peragaan kerana faktor usia dan masalah kesihatan.

Safiah “Sophia” Ibrahim
Safiah “Sophia” Ibrahim, penyanyi dan pelakon dari 1960-an, kini mengalami masalah penglihatan.

Mohmad Jamil Zulkifli (M. Jamil)
Mohmad Jamil Zulkifli (M. Jamil), pelakon dan produser filem, kini menghadapi kesan strok yang mengakibatkan ketidakupayaan sebelah badan kiri.

Harun Hashim
Harun Hashim, pelakon teater dan drama sejak 1976, mengalami tekanan darah tinggi sambil menjaga isterinya yang pernah menjalani pembedahan kanser otak.

Sathiya Periasamy
Sathiya Periasamy, pelawak pentas sejak 1980-an, kini berdepan dengan kesan strok ringan akibat faktor usia.

Nas Ahmad
Nas Ahmad, bekas wartawan TV3 sejak 1990-an, tidak mampu bekerja lagi kerana masalah jantung yang dihidapinya sejak 2022, yang memberi kesan kepada kewangannya..

Alfred Ho
Alfred Ho adalah penyanyi buta yang terkenal dengan muzik jalanan sejak tahun 1970-an.

Mohammad Rauzan Alwi (Roy)
Mohammad Rauzan Alwi (Roy), penyanyi yang pernah dicalonkan sebagai Penyanyi Lelaki Popular, kini menderita akibat diabetes.

Sarimah Ahmad
Sarimah Ahmad, pelakon filem Melayu klasik sejak 1960-an yang terkenal dalam filem “Ibu Mertuaku”, pernah menghidap kanser kolon tahap tiga.

Datuk Andre Goh
Datuk Andre Goh adalah penyanyi irama tradisional yang terkenal dengan sumbangannya dalam muzik Malaysia.

Allahyarham Datuk S. Atan
Allahyarham Datuk S. Atan menerima sumbangan khairat kematian dari Yayasan Pekema sebanyak RM2,000 dari Yayasan PEKEMA.

Muhammad Yunus Abdul Rashid (Ebby Yus)
Muhammad Yunus Abdul Rashid (Ebby Yus), pelawak dan pelakon terkenal sejak 1980-an, kini menghadapi masalah jantung, buah pinggang, saraf, dan prostat.

Raden Jeffrydin Raden Imbromsoekaman (Datuk Jeffrydin)
Raden Jeffrydin Raden Imbromsoekaman (Datuk Jeffrydin), penyanyi Pop Yeh-yeh sejak 1960-an, kurang aktif akibat usia lanjut dan masalah kesihatan yang membatasi pendapatan beliau.

Maskiran Jakiran (Kieran)
Kieran, bekas penyampai radio popular sejak 1990-an, kini berjuang melawan kanser prostat yang telah merebak ke perut dan paru-paru, memerlukan rawatan kemoterapi yang berterusan di HKL.

Zul Mahat
Zul Mahat adalah seorang komposer dan produser yang menghadapi diabetis kronik serta menjalani dialisis buah pinggang tiga kali seminggu.

Untuk maklumat lanjut, sila layari


Kongsi berita di Nokomen.com
Nokomen.comBerita Terkini Hiburan Sensasi Malaysia

PERINGATAN: 
Nokomen.com tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia merupakan pandangan peribadi pemilik akaun dan bukan sesekali daripada pihak kami. Segala risiko akibat sebarang komentar yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun itu sendiri.

You may also like

Leave a Comment

Are you sure want to unlock this post?
Unlock left : 0
Are you sure want to cancel subscription?
MSL 2025