Pertubuhan Bantuan Teknikal Insaf Malaysia (Insaf Malaysia), yang telah ditubuhkan secara rasmi sejak tahun 2009, sekali lagi melancarkan Program Beras Amal Sekampit Beras Satu Keluarga (SBSK). Program ini mensasarkan golongan asnaf, Orang Kelainan Upaya (OKU), warga emas, serta rumah kebajikan sebagai penerima bantuan utama.
Selama 16 tahun penubuhannya, Insaf Malaysia telah memberikan bantuan kepada lebih daripada 431 rumah kebajikan dan 1,309 murid sekolah.
Menurut Presiden dan Pengasas Insaf Malaysia, Ishak Abdul Kadir, program SBSK bermula secara kecil-kecilan sebelum berkembang menjadi usaha yang lebih besar. Sebelum pandemik COVID-19, Insaf Malaysia berjaya mengumpul sebanyak 15 tan beras.
Namun, pandemik menyebabkan program ini terhenti sementara waktu. Ishak menyatakan bahawa tahun lalu mereka cuba menghidupkan kembali program ini secara kecil-kecilan dan akhirnya bercadang untuk memperluaskan kutipan beras pada tahun ini.

Program SBSK mempunyai tiga objektif utama. Sebahagian daripada kutipan beras akan digunakan untuk menyediakan makanan tengah hari kepada murid-murid sekolah, termasuk anak-anak yatim, di Dapur Insaf. Berlangsung setiap hari Isnin hingga Jumaat di kawasan Taman Seputeh (Kuala Lumpur) dan Setiawangsa (Gombak, Ampang, Pandan).
Dapur Insaf juga beroperasi di Pulau Pinang yang telah digerakkan sejak empat hingga lima tahun lalu. Sebahagian lagi kutipan diagihkan kepada sekolah-sekolah melalui program makan tengah hari dan food bank, yang turut menyediakan bantuan berupa barangan asas seperti beras, minyak masak, dan kicap. Seterusnya, selebihnya disalurkan kepada OKU, warga emas, dan golongan yang memerlukan.
Untuk tahun ini, Insaf Malaysia mensasarkan kutipan sebanyak 30 tan beras atau 30,000 kilogram. Sasaran ini diharapkan dapat menampung keperluan di tiga lokasi utama, iaitu Selangor, Kuala Lumpur, dan Pulau Pinang.
Tiga pusat kutipan telah disediakan di Taman Seputeh, Taman Setiawangsa, dan Perda, Pulau Pinang. Individu yang ingin menyumbang boleh menghantar beras secara langsung ke pusat-pusat ini. Setiap sumbangan akan didokumentasikan, dan bukti agihan akan dihantar kepada penyumbang melalui WhatsApp.
Selain sumbangan fizikal, Insaf Malaysia juga mempermudahkan urusan penyumbang dengan menyediakan pilihan pindahan wang melalui kod QR akaun Maybank Insaf Malaysia (562188306090). Ishak menegaskan bahawa setiap sumbangan akan diaudit bagi memastikan kecekapan agihan kepada penerima.

Insaf Malaysia turut bekerjasama dengan IRAMA Entertainment Komuniti Industri Rakaman Muzik Malaysia (IRAMA). Melalui kerjasama ini, agihan antara 40 hingga 50 kampit beras akan diberikan kepada golongan seni yang memerlukan. Ini adalah sebahagian daripada peruntukan untuk OKU, warga emas, dan golongan memerlukan lain.
Program SBSK dijalankan sepanjang tahun, tetapi tumpuan utama diberikan pada bulan Rejab, Syaaban, dan Ramadan. Selain itu, Insaf Malaysia turut menganjurkan program berbuka puasa, pengedaran bubur lambuk, dan pelbagai aktiviti kebajikan lain semasa Ramadan.
Ishak turut menjelaskan bahawa sebelum pandemik, hampir 99.9 peratus aktiviti mereka adalah kerja kebajikan, termasuk program di sekolah dan membantu komuniti Orang Asal.
Dengan usaha berterusan ini, Insaf Malaysia berharap dapat terus memberikan impak positif kepada komuniti yang memerlukan. Program SBSK bukan sahaja menyediakan bantuan makanan tetapi juga berfungsi sebagai medium untuk mengeratkan hubungan antara ibu bapa, guru, dan masyarakat.
Untuk maklumat lanjut sila layari

PERINGATAN:
Nokomen.com tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia merupakan pandangan peribadi pemilik akaun dan bukan sesekali daripada pihak kami. Segala risiko akibat sebarang komentar yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun itu sendiri.