Dewan Perniagaan Perindustrian dan Pelaburan Malaysia-Wuxi China (DPPPM-WC) telah mengumumkan pengenalan dua pengusaha tempatan sebagai rakan strategi perniagaan dan pelaburan dalam program My Warehouse @ Wuxi, China yang dijadualkan bermula pada bulan Ogos 2024 ini.
Syarikat Juta Global Marketing Sdn Bhd yang terkenal dengan keju halal ‘Marsche Formage Cheese’ dan UNA Manufacturing & Resources Sdn Bhd yang mengeluarkan makanan RTE (Ready To Eat) ‘Tok Su Shon Central Kitchen’ telah dipilih dan disaring pada peringkat awal diantara 200 permohonan yang disenarai pendek.


Perjanjian Persefahaman Pembekalan Produk telah ditandatangani di NQ Cultural Commercial Sdn Bhd, Petaling Jaya pada 23 Mei 2024 diantara DPPPM-WC diwakili Naib Pengerusi DPPPM-WC, Dato Dr. Hassan Saad bersama kedua-dua syarikat tersebut diwakili Pengarah bersama UNA, Elina Hayati Ismail serta Peguam mewakili UNA, Mohd Rosidi Hassan dan Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Juta Global, Rosli Ajemain serta Pengurus Hal Ehwal Korporat Juta Global, Ahmad Zaren Abd. Rahman disaksikan Presiden Dewan Perniagaan Usahawan Malaysia, Dato Sri Abu Hassan Mohd Nor dan Dato Sri Sharizal Sarip selaku Ahli Jawatankuasa DPPPM-WC.

Turut hadir Pengerusi DPPPM-WC, Dr. Mazlan Goh; Pengarah Urusan UNA, Mohd Dzamri Abdullah; wakil-wakil industri, tetamu jemputan serta para media.
UNA Manufacturing yang memiliki lebih 1000 sijil halal buat permulaan akan membekalkan empat jenis produk bernilai lebih RM1 juta seperti Kari Ayam dan Daging Mamak, Bakso, Ayam Masak Merah, Daging Masak Hitam dan Spaghetti Bolognese Bebola Daging manakala Juta Global akan membekalkan keju yang dianggarkan bernilai RM4 juta.

Pengarah Urusan UNA, Mohd Dzamri Abdullah, turut memaklumkan bahawa syarikat kelak akan turut memperkenal dan mengenengahkan produk tempatan, Ketupat dengan penambahan penggunaan teknologi terbaharu – ‘Retort’ hasil kerjasama FAMA yang mampu memberi kebolehan ketahanan dan penggunaan jangka panjang selama dua tahun. Ini merupakan sebahagian daripada 1,001 jenis produk Makanan Sedia Dimakan (RTE) Toksu Shon yang dihasilkan.
Una Manufacturing & Resources Sdn Bhd merupakan syarikat pengeluar produk berasaskan makanan tradisional Melayu dan Thai yang telah ditubuhkan oleh Puan Elina Hayati Binti Ismail pada 09 November 2020.

Bagi Pengurus Hal Ehwal Korporat, Juta, Ahmad Zaren Abd Rahman, produk keju yang dihasilkan melalui jenama ‘Marsche Formage Cheese’ dengan rennet dan enzim mikrob bukan haiwan, diproses dengan teliti, disahkan halal, dicipta dan dipatenkan oleh penyelidik mikrob Malaysia yang terkenal di UK oleh syarikat Juta merupakan produk keju pertama di dalam negara.
“Kami juga berkemampuan mengeluarkan 7 tan sebulan keju bersamaan 15 kontena dalam tempoh sebulan dengan pengeluaran maksima 50 kontena sebulan,” tambahnya.
Ditubuhkan pada 2019 sebagai syarikat perdagangan kecil dan sederhana, Juta Global Marketing Sdn. Bhd. secara rasmi dilantik sebagai rakan kongsi pintar PLC UK D’Qisra di Malaysia untuk melancarkan projek perintisnya pada 2022.

Sejajar dengan visi DPPPM-WC yang ditubuhkan pada Oktober 2023 dalam mewujudkan platform yang berkait rapat, saling menguntungkan untuk integriti perniagaan, komunikasi dan pertukaran antara China dan Malaysia, mempromosikan kemakmuran dan pembangunan ekonomi kedua-dua negara telah memperlihatkan kerjasama antara DPPPM-WC dengan Wuxi Federation Industri of Commerce China (WFIOC) berjaya membawa pelabur WFIOC ke Malaysia dalam beberapa sektor termasuk tenaga, tekstil, perlombongan, pembuatan, perubatan, perhotelan, pelancongan, agro, pengurusan sisa pepejal, makanan dan minuman.
Kedua-dua syarikat tempatan ini bakal memasarkan produk makanan mereka di Pavillion Malaysia di Wuxi dan pastinya akan menjadi tumpuan di pasaran China melalui My Warehouse @ Wuxi.
Wuxi adalah sebuah bandar yang terletak di Wilayah Jiangsu, China. Ia terkenal dengan kemakmuran ekonomi, industri berteknologi tinggi, dan mempunyai asas pembuatan yang kukuh, terutamanya dalam industri seperti elektronik, tekstil, dan jentera.

Impak perniagaan di Wuxi meluas melebihi sempadannya dan mempunyai implikasi di seluruh dunia. Sebagai pusat industri berteknologi tinggi, Wuxi memainkan peranan penting dalam rantaian bekalan global, terutamanya dalam sektor elektronik dan tenaga solar. Ramai syarikat multinasional mempunyai operasi di Wuxi, menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi bandar ini dan perdagangan antarabangsa.
Wuxi dianggap sebagai pintu masuk penting untuk memasarkan produk ke China dan pelbagai ejen pemasaran dijangka akan berada di Pavillion Malaysia untuk memilih produk daripada syarikat-syarikat tempatan.
Selain itu, lokasi strategik Wuxi berhampiran Shanghai dan infrastruktur yang baik menjadikannya destinasi yang menarik untuk pelaburan asing. Alam perniagaan yang mesra dan tenaga kerja yang terlatih di bandar ini turut membantu menjadikannya pemain penting dalam ekonomi global.

Secara keseluruhannya, aktiviti perniagaan di Wuxi mempunyai kesan bergelombang ke atas pasaran global, mempengaruhi perdagangan, pelaburan, dan inovasi di seluruh dunia.
Sehubungan dengan itu, DPPPM-WC ingin mengalu-alukan dan mempelawa syarikat tempatan untuk menerokai peluang pasaran di China, terutamanya di wilayah Wuxi. Dato Seri Sharizal Sarip berkata bahawa Wuxi Federation Industry Of Commerce telah menawarkan permintaan sebanyak 2,000 tan produk makanan dan minuman sebulan untuk dieksport ke negara itu bagi keperluan lebih dua bilion pengguna di sana.
Sehingga kini, DPPPM-WC telah menerima lebih 500 permohonan daripada syarikat F&B tempatan untuk menyertai pameran My Warehouse @ Wuxi, China dan untuk makluman, permohonan masih lagi dibuka.

PERINGATAN:
Nokomen.com tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia merupakan pandangan peribadi pemilik akaun dan bukan sesekali daripada pihak kami. Segala risiko akibat sebarang komentar yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun itu sendiri.