Perlumbaan rali di Malaysia mempunyai sejarah yang kaya semenjak awal tahun 1980-an, dengan landskap luas ladang kelapa sawit negara memberikan keunikan latar belakang yang tersendiri, menarik dan mendebarkan. Selama bertahun-tahun, Malaysia telah menjadi tuan rumah kejohanan berprestij seperti Rally of Malaysia Championship (ROM) dan Malaysian Rally Championship (MRC), mengukuhkan lagi kedudukannya dipersada rali global.
Diserikan dengan kelahiran beberapa nama besar dalam sukan rali dunia bertaraf Juara PWRC seperti Karamjit Singh telah meletakkan lagi nama Malaysia di antara penganjur dan venue perlumbaan yang amat diminati di Asia Pasifik terutamanya.
Antara kemuncak penting dalam sejarah rally Malaysia adalah penglibatannya sebagai tuan rumah dalam pertandingan kelas atas seperti Kejuaraan Rally Asia Pasifik. Pemandu legendaris seperti Juha Kankunnen, Carlos Sainz, Possum Bourne dan ramai lagi menguji kemampuan mereka di trek rally yang mencabar di Malaysia, meninggalkan kesan yang tidak dapat dilupakan dalam warisan sukan rali negara ini.
Malah bintang WRC semasa, seperti Haydon Paddon, Esapekka Lappi, dan OC Veiby, turut memulakan perjalanan kerjaya mereka untuk menjadi pemandu bertaraf dunia dengan menyertai acara di Malaysia.
Namun, hiatus dalam acara rali sejak tahun 2019 meninggalkan impak, menyisakan bakat tempatan mahupun kereta rali nasional tanpa platform untuk memamerkan kemahiran mereka. Tahun 2024 akan menjanjikan semangat baharu bagi sukan rali tempatan dengan kemunculan Malaysian International Rally Championship 2024 (MIRC).
Kembalinya Rali Malaysia: MIRC 2024 menandakan detik penting dalam kebangkitan rali di Malaysia, bertujuan bukan sahaja untuk memulihkan minat tempatan tetapi juga untuk memartabatkan sukan rali di peringkat serantau. Beserta slogan, “THE BEST RALLY TRADITION IS BACK” merangkum dedikasi MIRC untuk mengembalikan kemeriahan dan keghairahan acara rali ke Malaysia dan seterusnya.
Dengan penuh keterujaan, peminat rali menanti-nantikan kejuaraan ini, yang menjadi bukti cinta berpanjangan Malaysia terhadap rali dan tekadnya untuk sekali lagi menjadi kuasa utama dalam dunia sukan berenjin. Terain yang mencabar, pentas ikonik, dan kembalinya persaingan antarabangsa menjanjikan pengalaman yang tak terlupakan untuk peserta dan mahupun penonton. Warisan rali Malaysia sedia untuk ditulis semula, dan MIRC 2024 adalah pentas di mana semuanya bermula.
Kemunculan Semula: Selepas lima tahun sunyi dalam arena sukan rally Malaysia, tanpa deruman kereta rally di ladang kelapa sawit, negara ini kini bersiap untuk menyaksikan kembalinya kegemilangan perlumbaan rali pada tahun 2024.
Acara perlumbaan rally berstatus antarabangsa berbentuk karnival dijadualkan pada 8 hingga 10 Mac 2024, berlangsung di Kawasan Parlimen Paya Besar, merangkumi ladang kelapa sawit Felda Panching dan keindahan Bandar Kuantan, Pahang Darul Makmur dianggarkan bakal menghimpunkan seramai 25,000 pengunjung.
Perlumbaan MIRC, yang dianjurkan oleh Millennium Motorsport Adventure Club (MMAC) dan diuruskan oleh sebuah syarikat pengurus acara gergasi, Semenyih Eco-Ventures Resort & Recreation, bekerjasama dengan rakan strategik dari Pejabat Parlimen Paya Besar, Majlis Bandaraya Kuantan dan Kerajaan Negeri Pahang serta Pahang Corporation, bertujuan untuk menyemarakkan semula semangat dan keghairahan sukan rali. Acara ini turut diikhtiraf oleh Motorsports Association of Malaysia (MAM) serta Kementerian Belia & Sukan, Malaysia.


Pengarah Acara, Dato’ Seri Mohamad Khafey Ikhwan Bin Abdul Latiff berkata, “Penganjuran MIRC kali ini adalah berstatus berbeza dengan penganjur lain pada sebelum ini. Acara utama adalah perlumbaan rally itu sendiri yang akan disertai oleh pelumba rally dan kereta rally terbaru dari China, Thailand dan Indonesia. Malah, pelumba-pelumba tempatan pasti akan menantikan kembalinya kehebatan sukan rally di Malaysia ini.”
“Bagi menambahkan kemeriahan sepanjang minggu berlangsungnya perlumbaan rally tersebut, kami akan turut menganjurkan karnival & makanan di dua tempat utama iaitu di dalam Tapak Karnival Felda Panching dan Tapak Karnival Bandar Kuantan, Pahang dengan penglibatan keseluruhan lebih dari 100 vendor dan 300 buah gerai. Konsert dari artis terkini dan cabutan bertuah akan berlangsung di Kuantan pada hari Jumaat dan Ahad manakala Ceramah Agama Perdana dari Penceramah & Tokoh Agama Terkemuka berlangsung di Tapak Karnival Felda Panching pada hari Sabtu malam.’ tambah beliau lagi.
Sementara itu, Ahli Parlimen Paya Besar, Yang Berhormat, Dato’ Indera Mohd Shahar bin Abdullah turut mengalu-alukan kedatangan acara sukan lumba rally dan karnival terbesar ini. Felda Panching amat unik dan indah untuk dijadikan litar perlumbaan rally yang julung kalinya setelah 5 tahun hilang dari kalendar sukan permotoran negara*
“Kami bersedia membantu dari setiap aspek penganjuran bagi memastikan “rally come-back’ ini berjaya sepenuhnya dan memuaskan hati semua pihak. Saya juga amat berbesar hati & bangga kerana Felda Panching akan dijadikan litar lumba rally yang berprestij ini.”
Presiden MMAC, Hj Sutan Mustaffa Salihin turut melahirkan rasa gembira kerana penantian pelumba & peminat sukan lumba rally ini akhirnya kembali menjadi kenyataan. “”Saya berterima kasih kepada pihak Semenyih Eco-Ventures terutama Pengarah Acara ini iaitu Dato’ Seri Mohamad Khafey Ikhwan kerana merealisasikan impian kami peminat sukan rally di Malaysia yang lama menanti come-back ini.
Ganjaran Kewangan: Perlumbaan rally berstatus antarabangsa ini akan menawarkan jumlah hadiah tunai hampir RM30,000 kepada pemenang dalam kategori 4WD & 2WD, termasuk hadiah motosikal keseluruhan untuk setiap kategori yang dipertandingkan. Hadiah sampingan tambahan akan diumumkan kemudian.
Peluang Berkolaborasi: Penganjur dengan senang hati membuka peluang dan bekerjasama dengan entiti swasta dan korporat untuk menjadi penaja dan rakan strategik, memastikan kesinambungan kejayaan sukan rali di Malaysia.

Acara:
Malaysian International Rally Championship 2024 (MIRC)
Tarikh: 8 – 10 Mac 2024
Tempat: Paya Besar, Kuantan, Pahang Darul Makmur, Malaysia
Fasa Khas (SS):
- SS 1: Felda Panching Utara – 13KM
- SS 2: Felda Panching Selatan – 15KM
- SS 3: Felda Panching Timur – 10KM
Untuk maklumat lanjut, sila layari

PERINGATAN:
Nokomen.com tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia merupakan pandangan peribadi pemilik akaun dan bukan sesekali daripada pihak kami. Segala risiko akibat sebarang komentar yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun itu sendiri.






