Home HiburanSumpahan Jerunei – Disebalik Upacara Pengorbanan Sebenar Kaum Melanau

Sumpahan Jerunei – Disebalik Upacara Pengorbanan Sebenar Kaum Melanau

by NoKomen
5K views
Sumpahan Jerunei

GSC Movies dengan bangganya mengumumkan pelancaran filem seram terbaru Sumpahan Jerunei, sebuah karya seni yang dihasilkan oleh Warga Produksi Seni 2020 yang bakal ditayangkan di seluruh pawagam di Malaysia bermula 27 Julai 2023.

“Sumpahan Jerunei” hasil arahan Pengarah Jason Chong menjanjikan pengalaman unik dan mendebarkan dibarisi barisan pelakon terkenal tanah air seperti Bront Palarae, Uqasha Senrose, Amerul Affendi, Daiyan Trisha, Syafie Naswip, Tony Eusoff, Ruminah Sidek dan Yuyun Hikmah.

Turut mendapat pengiktirafan Festival Filem Antarabangsa ASEAN (AIFFA) edisi ke-6 dimana filem Sumpahan Jerunei terpilih sebagai filem pilihan untuk Tayangan Perdana pada 20 Julai 2023 ini, di Kuching, Sarawak. Ini juga merupakan kali pertama AIFFA memilih filem tempatan untuk acara berprestij ini, seperti yang diumumkan secara rasmi oleh Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, YB Dato’ Sri Haji Abdul Karim Rahman Hamzah.

Filem yang dirakamkan selama 2 bulan di lokasi sebenar di negeri Sarawak termasuk Kampung Tellian Mukah, Siburan dan Kuching ini akan membuka pintu kepada unsur kegelapan, kejutan, dan ketakutan yang bakal menghantui jiwa para penonton. Dengan adanya elemen misteri, seram dan pengorbanan, filem ini dijangka akan menjadi kegilaan para penonton filem seram di seluruh negara. Jangan lepaskan peluang untuk merasai pengalaman seram dan budaya yang unik di pawagam berdekatan anda.

Poster Sumpahan Jerunei

Diilhamkan oleh adat kaum Melanau melalui upacara pengorbanan sebenar yang bermula sejak abad ke-13, Jerunei menceritakan kisah sekumpulan penyelidik yang diketuai Dr. Sani menyertai ekspedisi bagi merungkai dan mengkaji sejarah Jerunei (Kutub Totem) untuk dipelihara dan dijadikan sebuah tapak warisan dunia. Dr. Sani yang pada asalnya tidak bersetuju namun kehadirannya secara tiba-tiba bukan sekadar ekspedisi penyelidikan disamping ingin mencari kebenaran disebalik kejadian yang menimpa isterinya yang hilang ketika ekspedisi Jerunei pertama terdahulu.

Semasa mereka menyisir hutan untuk mendapatkan jawapan, setiap ahli mengalami kejadian halusinasi, sakit yang luar biasa dan ada juga yang mendapati diri mereka terjaga di tempat yang pelik. Keadaan menjadi lebih buruk apabila jasad salah seorang daripada mereka diambil alih oleh jiwa yang telah dikorbankan di sebuah Jerunei.

Menurut penerbit, Datin Dr. Wendy pasa asalnya Sumpan Jerunei hanya mahu diterbitkan sebagai sebuah dokumentari di dalam bentuk tesis yang mampu memperkenalkan budaya asli dan membawa nama Malaysia ke persada dunia.

Babak filem Sumpahan Jerunei

Pihak produksi menjalankan kajian mendalam mengenai budaya dan sejarah Jerunei selama lebih dua tahun melalui hasil kerjasama dari Mallis Adat Istiadat Sarawak (MAIS), Muzium Sarawak, Persatuan Melanau Kuching dan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia Negeri Sarawak.

Seterusnya kajian ini dipersembahkan ke beberapa negara dan ternyata kandungannya sangat bermanfaat dan disukai ramai sehinggalah disarankan untuk diterjemahkan ke dalam bentuk filem.

Menelan belanja sekitar RM5 Juta dan mengambil tempoh selama enam tahun menyiapkan filem sepenuhnya, pelbagai rintangan ditempuhi termasuk pandemik Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), tambah Dato’ Nancie Foo.

Ketara dilihat penggunaan elemen kesan khas, VFX dan CGI di dalam filem Sumpahan Jerunei yang rata-rata penggambarannya mengunakan skrin biru, jadi tidak hairanlah kos pembikinannya tinggi.

Antara aksi CGI yang benar-benar beri kesan ketika Arjuna lakonan Syafie Naswip yang gemar melukis seketika dirasuk dan menoreh jarinya ketika sedang mengasah pensilnya. Ketahui lanjut apa yang berlaku seterusnya nanti, selamatkah Arjuna?

Dari Malaysia hinggalah ke Russia dan USA diperuntukkan untuk menjayakan kesan khas tersebut agar tampak realistik disamping kualiti dan keberkesanan lakonan para pelakon itu sendiri memberikan impak tersendiri yang baik secara keseluruhannya.

Jalan cerita dan plot twist yang sebaliknya berlaku tidak seperti jangkaan. Ini sesuatu yang menarik khususnya bagi penggiat filem Malaysia. Tidak diramal dan pengakhiran yang benar-benar diluar jangkaan penonton.

Disebalik seram diselitkan juga unsur jenaka dengan kehadiran pelakon berbakat, Amerul Affendi selaku Tommi seorang youtuber penjejak hantu yang turut menyertai ekspedisi Jerunei melalui dialognya yang tampak spontan dan bersahaja.

Tidak ketinggalan watak Nula seorang bomoh tua lakonan Mak Mah (Ruminah Sidek) yang tidak asing lagi, misteri dan penuh persoalan dengan keperibadian serba hitamnya yang sering kali dilihat sedang menjampi patung mewakili setiap seorang peserta ekspedisi. Siapakah Nula dan adakah Nula orang yang bertanggujawab keatas apa yang berlaku di Jerunei?

Cantik tidak menjanjikan keselesaan bagi pelakon cantik Uqasha Senrose dan Daiyan Trisha, dimana setiap aksi lasak dilakonkan sendiri tanpa bantuan pelakon aksi tambahan. Bagi Uqasha, di ikat dan mandi air sungai yang juga merupakan tempat buangan najis sesuatu yang sangat mencabar.

“Air yang kotor, dengan baunya, warna coklat terpaksa dilakukan demi tanggungjawab terhadap Sumpahan Jerunei selain menurutnya ia juga merupakan scene pertamanya sewaktu penggambaran dilakukan”.

Manakalah babak Dayan Trisha ketika sedar dari tidur beralih dari rumah ke dalam pasir jerlus secara ghaib benar-benar memberikan impak berkesan dan menggelikan penonton. Dimana dirinya terpaksa tenggelam dan bangun menggapai bangkai haiwan bagi menyelamatkan dirinya. Salute!

“Jika dikutkan, babak Uqasha dan Daiyan lebih mencabar dalam filem ini”, turut diakui Bront Palarae yang juga turut menjayakan sendiri watak lagak ngerinya.

Selain cabaran fizikal, aspek logistik juga merupakan cabaran besar bagi kami memandangkan penggambaran dilakukan dalam hutan. Tambahnya yang tertarik dengan nilai adat dan budaya unik kaum Melanau yang diketengahkan selain memiliki kekuatan mesej yang ingin disampaikan kepada pononton.

Tidak ketinggalan lakonan hebat Tony Eusoff selaku Madui (Penghulu) dan Yuyun Hikmah (Matalau). Apakah hubungan Madui dan Matalau? Jangan lupa saksikan bagaimanakah pengakhiran filem Sumpahan Jerunei ini dipawagam berdekatan mulai 27 Julai 2023 ini ya!

5 dari kiri: Penerbit, Dato’ Nancie Foo & Datin Dr Wendy Wong bersama para pelakon pada sidang media selepas tayangan filem Sumpahan Jerunei pada 18 Julai 2023
5 dari kiri: Penerbit, Dato’ Nancie Foo & Datin Dr Wendy Wong bersama para pelakon pada sidang media selepas tayangan filem Sumpahan Jerunei pada 18 Julai 2023

Thorbaik! Akhir sekali, sentiasa beringat tidak kira dimana kita berada terutamanya di dalam hutan. Bila masuk hutan, perlu diingat empat perkara. Pertama adalah hubungan sesama manusia. Kedua, hubungan manusia dengan haiwan. Ketiga, hubungan kita dengan alam sekitar dan hubungan dengan semangat yang menjaga hutan serta segala isinya.

You Have Been Warned!
Jangan sesekali ambil sesuatu yang bukan milik kita!
Setiap sesuatu pasti ada tuannya…

#selagiadanya #sumpahjerunei

Pemenang pertama pertandingan poster Sumpahan Jerunei, Emil Elmariz bin Johnny
Turut mengumumkan pemenang pertandingan Poster Sumpahan Jerunei
– Pemenang pertama oleh Emil Elmariz bin Johnny

SEJARAH DISEBALIK SUMPAHAN JERUNEI

Bagi masyarakat Malanau, Jerunei tidak perlu diperkenalkan lagi, ianya merupakan lambang bersejarah yang suatu ketika dahulu dijadikan tempat persemadian terakhir bagi golongan bangsawan atau aristokrat masyarakat Melanau yang ketika masih lagi beragama pagan atau animisma.

Pasti ramai yang tidak mengetahui bahawa mayat golongan bangsawan yang meninggal dunia tidak akan dikuburkan di dalam tanah, sebaliknya terlebih dahulu akan disimpan di dalam tempayan besar yang secara semulajadinya akan dibiarkan mereput sehingga menjadi tulang-temulang.

Dimana kemudiannya akan dipindahkan ke dalam salah satu lubang yang terletak di bahagian tengah sebatang tiang bulat yang diukir indah bermotifkan binatang seperti naga, harimau, ular, tikus dan sebagainya menonjolkan darjat dan kedudukan pemiliknya dikenali sebagai jerunai. Diperbuat daripada kayu belian setinggai 12 hingga 15 meter yang besar dan tua yang disifatkan mampu bertahan ratusan tahun dari cuaca panas mahupun hujan.

Pada tiang jerunai, dikorek dua atau tiga lubang. Lubang di bahagian bawah menempatkan barangan berharga milik si mati untuk dijadikan bekalan perjalanannya ke alam akhirat manakala di bahagian tengah dikhaskan untuk menempatkan tempayan yang mempunyai rangka si mati. Sementara, di bahagian atas pula dikhaskan bagi hamba atau orang yang telah dipilih khas oleh si mati bagi dikorbankan untuk mengiringinya.

Disinilah tempat persemadian kekal si mati ditemani roh si hamba sahayanya yang dikorbankan menuju ke “likow matai” atau alam akhirat menurut kepercayaan masyarakat Melanau dahulukala namun kini, tradisi ini tidak lagi diamalkan dan dihapuskan bersesuaian dengan arus kemodenan serta kedatangan dan fahaman agama mula bertapak di dalam masyarakat Melanau di Sarawak yang rata-rata kini menganuti agama Islam dan Kristian.

Jerunei

Jerunai adalah salah satu lambang yang bersejarah bagi masyarakat Melanau. Jerunai telah dijadikan tempat persemadian orang-orang bangsawan Melanau pada masa dahulu tetapi tidak lagi diamalkan pada masa sekarang. Hal ini kerana masyarakat sekarang lebih bertamadun berbanding dengan masyarakat zaman dahulu. Ramai yang menjadi korban daripada pembinaan jerunai ini. Tetapi cerita yang unik mengenai jerunai ini telah menarik minat ramai pengkaji untuk mengetahui lebih mendalam lagi tentang jerunai. 

Jerunai menjadi kebanggaan golongan bangsawan sebagai manifestasi tentang kedaulatan, ketinggian darjat, pengaruh dan kekayaan sewaktu hidup selain merupakan imej dan keperibadian kaum Melanau yang melambangkan ketamadunan mereka ketika itu. Bukan sahaja proses membuat jerunai mengambil masa yang lama, malah turut meragut ramai nyawa hasil daripada pembinaan jerunei ini.

Sebelum jerunai didirikan di tempat yang ditetapkan, terlebih dahulu nyanyian lagu tradisional diperdendangkan kepada para tetamu, kemudian barulah lubang sedalam dua meter digali dan seorang hamba akan dihumban hidup-hidup ke dalam lubang tersebut sebelum tiang jerunei dipacakkan. Jeritan, raungan dan tangisan keluarga si mati dan hamba menyelubungi persekitaran perkuburan menjadi simbolik agar roh si mati tenang di alam lain dan tidak akan mengganggu mereka yang masih hidup.

Disamping itu, bagi mengiringi roh bangsawan Melanau yang telah mati, seorang gadis kebiasaannya yatim piatu daripada golongan hamba terpilih akan turut dikorbankan. Diikat dan digantung di tengah Jerunai tanpa makanan mahupun minuman, dibiarkan mati kebuluran yang mana dipercayai rohnya akan menjaga tuan yang disemadikan di dalam lubang Jerunai tersebut yang lazimnya didirikan di tebing-tebing sungai . 

Menurut kepercayaan masyarakat Melanau, sebelum gadis itu meninggal, sesiapa sahaja yang menyusuri sungai antara jerunai itu, mereka akan berkayuh sekuat hati agar percikkan air mampu mencapai dan masuk ke dalam mulut gadis tersebut untuk menghilangkan kehausan. Ianya berlaku sehinggalah gadis tersebut menghembuskan nafasnya yang terakhir. 

Dipercayai juga, gadis yang dijadikan korban melontarkan rasa marah dan sumpah sarakah setiap kali meminta belas kasihan setiap kali melihat adanya kelibat manusia berada dekat dengannya agar air sungai sampai kepadanya walaupun setitik. 

“Datang-datanglah dekat padaku,

takkan kamu tak kasihani aku,
Aku amat haus dahaga.

Aku bukan hamba abdi kamu,
Angkatlah pengayuh mu tinggi-tinggi,

agar percikan air dari pengayuh itu,
dapatlah menghilang sedikit dahaga ku,

ku sumpahkan agar sesiapa daripada kamu yang menyiksa aku,
Atas dosa yang tidak pernah aku lakukan, aku sumpahkan,
Tak seorangpun daripada kamu, anak-anak dan cucu-cicit kamu selamat”


Bahasa: Melayu
Sari Kata: Inggeris / Melayu
Klasifikasi: P13
Tarikh Tayangan: 27 Julai 2023
Waktu Tayangan : 1 Jam 40 Minit
Genre: Seram Kebudayaan
Pengarah: Jason Chong
Penerbit: Datin Dr Wendy Wong, Dato’ Nancie Foo
Produksi: Produksi Seni Duapuluh Duapuluh Sdn Bhd
Pelakon: BrontPalarae (Dr.Sani), Uqasha Senrose (Bee), Syafie Naswip (Arjuna),
Daiyan Trisha (Hanna), Amerul Affendi (Tommi), Ruminah Sidek (Nula),
Tony Eusoff (Madui), Yuyun Hikmah (Matalau)



Kongsi berita di Nokomen.com
Nokomen.comBerita Terkini Hiburan Sensasi Malaysia

PERINGATAN: 
Nokomen.com tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia merupakan pandangan peribadi pemilik akaun dan bukan sesekali daripada pihak kami. Segala risiko akibat sebarang komentar yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun itu sendiri.

You may also like

Leave a Comment

Are you sure want to unlock this post?
Unlock left : 0
Are you sure want to cancel subscription?
MSL 2025