Sayap Bagimu merupakan sebuah inisiatif oleh AEON CO. (M) BHD. (AEON) melalui Malaysian AEON Foundation (MAF) yang lahir semenjak negara diserang pandemik Covid-19 yang telah meninggalkan impak yang besar dan kesan yang mendalam kepada dunia amnya pada 2021.
Diwujudkan sebagai sebahagian daripada komitmen bagi mengukuhkan kesediaan Malaysia sebagai negara digital, khususnya kepada para pelajar yang kurang bernasib baik untuk mengatasi cabaran dan mencipta masa depan yang lebih baik untuk diri dan keluarga. Memperkasakan dan menambah baik pembelajaran secara digital dengan menyediakan bilik darjah pintar serta alatan pembelajaran yang dipertingkatkan teknologi lengkap dengan kemudahan jalur lebar.
Selain itu, di bawah inisiatif utama ‘Sayap Bagimu’, terdapat pelbagai cabang program kelestarian lain yang merangkumi Pendidikan, Khidmat Masyarakat, Pembangunan Peribadi dan Komunikasi Kreatif, Pembangunan Industri Kecil dan Sederhana (PKS) dan banyak lagi.
Sepanjang 2021 memperlihatkan inisiatif Sayap Bagimu melalui Fasa 1 dan 2, menyumbang sebanyak 4,000 tablet Samsung Galaxy Tab bernilai RM2 juta keseluruhan tajaan oleh AEON Credit Service (M) Berhad telah diagihkan kepada pelajar daripada keluarga kurang berkemampuan.
Sehubungan itu, bersesuaian dengan inisiatif demi kelestarian negara, kini AEON CO. (M) BHD. (AEON) terus melebarkan sayapnya namun melalui pendekatan berlainan bagi mendekatkan diri serta menggiatkan lagi penglibatan bersama pelanggannya dengan pelancaran drama bersiri Sayap Bagimu yang diadakan di TGV, AEON Mall AU2, Kuala Lumpur pada 13 Oktober 2022.
Majlis Tayangan Gala dan Sidang Akhbar Sayap Bagimu turut diserikan dengan kehadiran Pengerusi AEON Dato’ Iskandar Sarudin, Pengarah Urusan AEON En. Ono Keiji, Timbalan Pengarah Urusan Korporat AEON En. Tsugutoshi Seko, Pengarah Urusan Perniagaan AEON En. Naoya Okada, Ketua Pegawai Perdagangan dan Pemasaran AEON Low Ngai Yuen, Ketua Pegawai Sumber Manusia Dr. Kasuma Satria dan lain-lain lagi serta beberapa barisan artis terlibat antaranya Alif Satar, Siti Nordiana, Dato’ Sri Eizlan Yusof, Vince Chong dan Aznie Azmi.
Selain aspirasi ‘Sayap Bagimu’ menyokong antara satu sama lain untuk terus bersama mengembangkan sayap dan maju ke hadapan, ia juga merupakan tema bersempena sambutan ulang tahun AEON yang ke-38 yang menginterpretasikan kesungguhan AEON dalam memberikan perkhidmatan yang terbaik, inklusiviti serta kelestarian ekosistemnya.
Drama ini juga sebagai tanda penghargaan dan terima kasih AEON terhadap kesetiaan yang tidak berbelah-bahagi oleh pelanggan, rakan niaga dan kesemua pemegang taruh yang telah menjadikan AEON sebagai jenama runcitan pilihan dan tempat membeli belah dan lokasi santai bersama keluarga.
“Kami di AEON amat bersyukur dengan setiap kejayaan yang dikecapi oleh syarikat yang disokong oleh kesetiaan pelanggan selama 38 tahun. Kejayaan syarikat yang juga didukung kuat Kerajaan membolehkan kami untuk terus memacu setiap usaha kami ke hadapan,” ujar Pengarah Urusan AEON, Keiji Ono.
Menurutnya lagi,” Sebagai sebuah syarikat yang amat mementingkan keutamaan pelanggan, kami sentiasa mahu menjadikan pasar raya kami bukan sahaja tempat untuk membeli belah, malah mampu menjadi organisasi yang sentiasa proaktif dan inovatif. Penglibatan AEON di dalam industri pembikinan drama ini merupakan satu yang baharu untuk kami namun AEON yakin pendekatan ini mampu memberikan impak positif dalam memperkasakan operasi syarikat dan untuk terus merapatkan lagi hubungan di antara AEON dan pelanggan.”
Inisiatif Sayap Bagimu juga selaras dengan usaha AEON yang memperjuangkan Matlamat Pembangunan Kelestarian Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSDG). Antaranya ialah Kesihatan Baik dan Kesejahteraan (SDG 3) iaitu memastikan kehidupan sihat dan menggalakkan kesejahteraan bagi setiap lapisan umur serta Pembangunan Ekonomi Dan Pekerjaan Yang Baik (SDG 8) yang menggalakkan pertumbuhan ekonomi berterusan, inklusif dan mampan, guna tenaga penuh dan produktif serta kerja yang bersesuaian untuk semua.
Program ini turut disertai rakan-rakan niaga AEON dan para penaja seperti AmBank Malaysia, TGV Cinemas, Focus Point, Gintell, OSIM, Poh Kong, Tomei Gold & Jewellery, PANDORA Jewellery, Hype Energy Drink, Mahnaz Food, Samsung Malaysia Electronic, Mamee-Double Decker, Shogun Japan, Yeo Hiap Seng, BB Diapers dan Uncle Zam Rice.
Bahasa: Melayu
Tarikh Tayangan: 13 Oktober 2022
Waktu Tayangan : 30 Minit
Episod : 13 Episod
Genre: Drama
Pengarah: Low Ngai Yuen
Penerbit: AEON
Skrip: Kasuma Satira
Pelakon: Alif Satar (Alif Adnan), Siti Nordiana (Siti), Mark Adam (Mark),
Dato’Sri Eizlan Yusof (Eizlan), Izzue Islam (Izzue), Siti Shahiedatul Shareena (Shareena),
Intan Ladyana (Intan), Aznie Azmi (Aznie), Vince Chong (Vince), Theinusha (Geetha),
Jag Wong Kai Seng (Keong), Wan Syamil (Jay), Shahrul (Along),
Fazlinda Abu Bakar (Auntie Sophia), Aida Aris (Tengku Aida)
Drama Sayap Bagimu secara keseluruhannya berkisarkan tentang cabaran, tekanan, dan sokongan yang dihadapi di tempat kerja demi memajukan nama syarikat disituasi era pandemik melalui transformasi digital. Diadaptasikan melalui peristiwa mahupun perjalanan yang berlaku dan dilalui sendiri oleh pekerja-pekerja AEON. Dengan matlamat agar ianya mampu memberi inspirasi kepada masyarakat untuk terus mengembangkan sayap potensi sedia ada individu untuk mengejar impian.
Episod pertama Sayap Bagimu telah mula ditayangkan di laman Youtube AEON Malaysia pada 13 Oktober 2022 dan sehingga kini telah mencecah hampir 20 ribu tontonan!
Bukan Alif? Kenapa Alif bukan Alif? Watak yang dibawa oleh Alif Satar sebagai seorang yang mengikut amatan Nokomen.com seorang yang pemalu dan boleh dikatakan mengalami masalah psikologi yang berkait rapat dengan masalah Social Anxiety Disorder (SAD) yang juga dikenali sebagai social phobia.
Walaupun sedemikian, Alif tetap diterima sebagai pekerja AEON yang menjadikan media digital sebagai platform komunikasi utamanya kerana sifatnya yang takut, gementar dan malu berdepan mahupun bersemuka dengan masyarakat sekeliling.
Digandingkan buat pertama kali bersama penyanyi dan pelakon, Siti Nordiana sebagai Siti membuatkan kedua-duanya teruja berlakon bersama walaupun diilhamkan pada awal 2020 ketika awal pandemik namun terhenti dan diteruskan kemudian pada April 2021.
“Terus terang saya katakan ini satu-satunya penggambaran sepanjang 16 tahun kerjaya Alif yang mengambil masa 2 tahun untuk diselesaikan apatah lagi diwaktu pandemik dengan keperluan pemakaian face shield diwajibkan mengikut SOP dengan ekspresi serta perwatakan ‘silly’ sedemikian yang belum pernah dilakonkan namun melihat hasilnya ianya memuaskan dan pasti akan tetap menjadi kenangan yang kekal selamanya,” ujar Alif Satar yang turut terlibat menyanyikan lagu OST Sayap Bagimu bersama The Locos #alifsatarandthelocos.
Drama bersiri 13 episod arahan dan skrip bersama, Ketua Pegawai Perdagangan & Pemasaran AEON Low Ngai Yuen dan Ketua Pegawai Sumber Manusia Dr. Kasuma Satria juga selain penglibatan artis, turut memperkenalkan dan mengetengahkan sendiri bakat lakonan terpendam pekerja-pekerja sebenar AEON.
Ditanya mengenai kos pembikinan, Dr. Kasuma Satria berkata kos bukan sekadar mata wang sahaja kerana ianya juga merupakan cabaran khususnya buat warga kerja AEON yang realitinya bukan bergelar pelakon bersama mengembangkan sayap menyahut cabaran berkenaan, pendek kata kos… NOKOMEN! (Nak Sorok Menda?) :))
Kesimpulannya, so far so good! Episod 1 lebih kepada pengenalan, dari segi lakonan mahupun persekitaran begitu menyakinkan apatah lagi memperlihatkan sisi sebenar ruang dan etika pekerjaan warga AOEN. Kudos!
Jadi apa berlaku seterusnya kepada Alif, mampukan Alif berubah atau terus kekal begitu? Bertemukah Alif dengan Siti, gadis yang membuatkannya hilang arah ketika zaman kolejnya?
Kepada peminat Alif Satar dan Siti Nurdiana, jangan lupa ikuti episod drama bersiri Sayap Bagimu seterusnya setiap Khamis, jam 6 petang hanya di saluran YouTube AEON Malaysia.

PERINGATAN:
Nokomen.com tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia merupakan pandangan peribadi pemilik akaun dan bukan sesekali daripada pihak kami. Segala risiko akibat sebarang komentar yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun itu sendiri.






