Home HiburanSayap Sayap Patah, Adaptasi Tragedi Mako Brimod 2018

Sayap Sayap Patah, Adaptasi Tragedi Mako Brimod 2018

by NoKomen
1.8K views
Sayap-sayap Patah

Syarikat MoreADDHodlings Berhad merupakan syarikat di Malaysia yang telah menjalin kerjasama dari penerbit sebuah syarikat perfileman di Indonesia bernama Cakra Filem yang diteraju oleh penerbitnya saudara Denny Siregar. Filem genre aksi dan romantis, Sayap Sayap Patah ini dilakonkan oleh pelakon terkenal Nicholas Saputra bersama Ariel Tatum dibawah arahan pengarah filem saudara Rudi Soedjarwo.

Nokomen.com berkesempatan menyaksikan Tayangan Gala Premier filem Sayap Sayap Patah di GSC Mid Valley Megamall pada 6hb Oktober 2022 lalu. Seramai 12 orang delegasi dari pihak produksi Indonesia termasuk beberapa pelakon utama telah hadir, diketuai Penerbit Danny Siregar, Iwa K, Nugie, Poppy Sovia dan Ariyo Wahab.

Sebahagian daripada barisan pelakon Sayap Sayapp Patah terdiri dari Ariyo Wahab (tiga dari kiri) Iwa K, Poppy Sovia, Nugie (bertopi), dan Penerbit, Denny Siregar (dua dari kanan).
Sebahagian daripada barisan pelakon terdiri dari Ariyo Wahab (tiga dari kiri) Iwa K, Poppy Sovia, Nugie (bertopi), dan Penerbit, Denny Siregar (dua dari kanan).

Sinopsisnya, secara dasar Sayap Sayap Patah diinspirasikan berdasarkan kisah benar disebalik rusuhan tahanan di Mako Brimod, Kelapa Dua, Depok namun penceritaannya diolah menyelitkan elemen romantis dan percintaan pasangan suami isteri, Aji (Nicholas Saputra) dan Nani (Ariel Tatum) dimana Aji merupakan salah seorang anggota keselamatan dalam pasukan khas Densus 88 yang terlibat di dalam tragedi berkenaan.

Pengolahannya juga bersesuaian agar peristiwa menyayat hati ini sentiasa diingati sebagai sejarah, bukan bertujuan mempromosikan kegiatan militan malah turut memberi kesedaran umum tentang bahayanya kumpulan ini, ujar Denny Siregar ketika ditemui pada sidang media Tayangan Gala ‘Sayap Sayap Patah’.

Menurutnya, mengikut babak sebenar, pembunuhan yang berlaku ke atas tebusan yang terkorban sangat kejam di mana anggota badan mereka dikerat-kerat namun sebaliknya babak berkenaan kami ‘indahkan’ biarpun tewas, mereka tetap tewas bermaruah.

Walaupun begitu, keseluruhannya tampak cukup realistik apatah lagi dengan kos perbelanjaan yang agak lumayan menyaksikan aksi letupan yang berlaku dijayakan dilokasi balai polis yang sebenar dan bukan rekaan semata-mata.

Kerjaya Aji yang selalu berada di barisan hadapan dalam membenteras pengganas/teroris, membuat Nani yang sarat hamil anak pertama sentiasa dalam kebimbangan. Tekanan kebimbangan keselamatan Aji membuat kandungannya bermasalah sehingga Nani terpaksa pulang ke rumah ibunya di Jakarta.

Kebahagian rumahtangga mereka dilanda dugaan sekembalinya hari pertama Aji bertugas, terjadi rusuhan di penjara tempat para pengganas ditahan di Mako Brimod, Kelapa dua, Depok. Situasi menjadi tegang dan mencengkam apabila Aji menjadi salah seorang anggota yang dijadikan tebusan oleh pengganas.

Dalam masa yang sama Nani bertarung nyawa untuk melahirkan anak sulung mereka. Kehebatan filem ini terserlah melalui gabungan barisan pelakon yang hebat dan watak-watak antagonis yang dibawa oleh pelakon yang sebelum ini membawa watak baik membawa satu kelainan dan kepuasan bagi penonton.

Walaupun ini kali pertama Nicholas Saputra dan Ariel Tatum bergandingan di layar perak, mereka tampak begitu serasi menjiwai dan menjayakan watak masing-masing.

Ariel Tatum (kiri) dan Nadia Brian (kanan) :)
Ariel Tatum (kiri) dan Nadia Brian (kanan) :))

Lakonan Nicholas Saputra yang mula dikenali melalui filem ‘Ada Apa Dengan Cinta’ ini tidak dapat disangkal lagi kehebatannya yang memegang watak Aji (Iptu Luar Biasa Anumerta Yudi Rospuji Siswanto). Mimik muka serta tubuh yang tegap melengkapkan peranannya sebagai seorang anggota pasukan Densus 88.

Tidak ketinggalan, walaupun ini kali pertama Nokomen.com melihat lakonan dan wajah Ariel Tatum yang sekali imbas saling tak tumpah seperti pelakon malaysia iaitu Nadia Brian. Penjiwaannya begitu berkesan melalui pelbagai emosi yang ditampilkan sebagai seorang isteri kepada anggota polis yang sedang sarat mengandung.

Menariknya di dalam filem ini ialah watak ketua pengganas yang dimainkan oleh Iwa Kusuma atau Iwa K. Cukup dikenali sebagai ikon Hip Hop Indonesia, sudah tentu watak berbeza ditampilkan oleh penyanyi “Bebas” itu dalam filem Sayap Sayap Patah.

Sayap Sayap Patah
Iwa Kusuma atau Iwa K - Sayap Sayap Patah
Iwa Kusuma atau Iwa K memegang watak Leong.

Bayangkan seorang rapper memegang watak antagonis utama, sebagai Leong. Leong merupakan seorang ketua pengganas yang mempengaruhi orang bawahannya melakukan kegiatan yang dianggap mulia menuju ke syurga bagi memenuhi kehendaknya.

Namun tidak diperlihatkan sisi kejamnya sebagai ketua pengganas sebaliknya, lebih membawa watak pengganas yang tenang dan santai dalam diam memendam keganasan.

Sejujurnya, Iwa K cukup berjaya melakonkan watak Leong membuatkan penonton pasti benci dan marah sekaligus menjadikannya lebih dikenali di Malaysia khususnya yang mana menurut Denny, wajah Iwa K selaku pengganas sudah terbayang di dalam fikirannya saat membuat keputusan menerbitkan filem ini.

Agustinus Gusti Nugroho atau Nugie memegang watak AKP Sadikin.
Agustinus Gusti Nugroho atau Nugie memegang watak AKP Sadikin.

Difahamkan juga, kebanyakkan pelakon yang menjayakan filem ini juga sempat bertemu dan berbual bersama tahanan pengganas sebenar bagi mempelajari dan menjiwai watak masing-masing.

Tidak kurang hebatnya watak yang dipegang oleh pelakon, pemuzik dan penyanyi, Agustinus Gusti Nugroho yang lebih dikenali sebagai Nugie yang memainkan watak sebagai AKP Sadikin. Seorang yang serius namun sangat tenang dan bersahaja akan membuatkan penonton ketawa disaat setiap kali hadir ke sesi soal siasat banduan. Lebih-lebih lagi apabila dia mula menawarkan makanan kepada mereka yang melalui pengamatannya bukan untuk membuat lawak namun dapat membuatkan penonton di Malaysia ketawa, jelasnya yang turut tertawa.

Bagi merancakkan perjalanan tayangan filem Sayap-Sayap Patah dan menyuntik sedikit kelainan dan pendekatan yang lebih berkesan kepada penonton di Malaysia, syarikat MoreADDHoldings Berhad juga telah memilih penyanyi tempatan yang sedang meningkat popular iaitu Amir Masdi bagi membawakan semula lagu tema/OST filem iaitu Ku Tunggu Senyummu nanyian asal penyanyi Indonesia, Ipang.

Dua individu antara anggota tebusan yang terselamat daripada tragedi Mako Brimod Bripka (Kiri) Ariyo Wahab sebagai Iptu Ruslan (Bripka Iwan Sarjana) dan (Kanan) Poppy Sovia sebagai Iptu Gendis (Iptu Sulastri)
Dua individu antara anggota tebusan yang terselamat daripada tragedi Mako Brimod Bripka (Kiri) Ariyo Wahab sebagai Iptu Ruslan (Bripka Iwan Sarjana) dan (Kanan) Poppy Sovia sebagai Iptu Gendis (Iptu Sulastri)

Secara keseluruhannya, filem Sayap Sayap Patah yang telah meraih kutipan RM40 juta yang ditonton lebih 2 juta penonton di Indonesia arahan Rudi Soedjarwo ini cukup seimbang dalam penyampaian elemen aksi dan romantik. Adegan aksi yang tidak keterlaluan membuatkan filem ini sesuai ditonton diatas klasifikasi P13 bermula dari 13 Oktober 2022 di seluruh pawagam di Malaysia.


Bahasa: Melayu
Sari Kata: Inggeris / Melayu
Klasifikasi: P13
Tarikh Tayangan: 13 Oktober 2022
Waktu Tayangan : 1 Jam 13 Minit
Genre: Aksi / Drama
Pengarah: Rudi Soedjarwo
Penerbit: Denny Siregar, Yoen K
Skrip: Monty Tiwa, Eric Tiwa, Alim Sudio
Produksi: Denny Siregar Production, Maxima Pictures
Pelakon: Nicholas Saputra, Ariel Tatum, Iwa K, Nugie, Edward Akbar,
Poppy Sovia, Ariyo Wahab, Khiva Iskak, Dewi Irawan,
Gibran Marten, Revaldo, Aden Bajaj


Kisah Disebalik Rusuhan Mako Brimob 2018

Detasmen Khas Counterterrorism 88 atau lebih dikenali sebagai Detasemen Khusus 88 Antiteror), atau Densus 88 di Indonesia merupakan skuad anti-keganasan peringkat pertama Polis Negara Indonesia yang dibentuk pada 30 Jun 2003, sejurus selepas tragedi pengeboman Bali pada tahun 2002. Ia dibiayai, dilengkapi dan dilatih oleh Amerika Syarikat melalui Program Bantuan Antiterorisme Perkhidmatan Keselamatan Diplomatik dan Polis Persekutuan Australia, dalam sains forensik termasuk analisis DNA, dan pemantauan komunikasi.

Secara ringkasnya, tragedi rusuhan dan penahanan polis oleh banduan pengganas di pusat tahanan Mako Brimob, Kelapa Dua, Depok, Jawa Barat berlaku pada Selasa, 8 Mei 2018 yang melibatkan keseluruhan 156 banduan menjadikan 9 anggota polis yang sebahagiannya dari pasukan khas Densus 88 Anti-terror sebagai tebusan. Dimana lebih kurang 36 jam selepasnya, 155 banduan menyerah diri dan seorang diberitakan ditembak mati kerana melawan.

Ketegangan semakin tidak terkawal, percerobohan berlaku sehinggakan ke bilik simpanan bukti selain senjata tebusan dirampas, pengganas turut menemui sejumlah bom atau bahan letupan di situ yang merupakan bahan bukti hasil rampasan Densus 88.

Melalui hasil penelitian dan maklumat, kesemua banduan pengganas ini sebenarnya telah dibahagikan kepada dua kem; yang menyokong pemberontakan dan yang menolaknya. Difahamkan juga, daripada 9 tebusan, hanya 5 orang terdiri daripada anggota Briged Densus 88 Briged Antikeganasan.

Seramai 5 orang tebusan terbunuh dan selebihnya dibebaskan selepas kira-kira 800 hingga 1,000 anggota polis mengepung pusat tahanan di Mako Brimob itu menjadikan Bripka Iwan Sarjana tebusan dari Densus 88 yang terakhir keesokkanya berjaya dibebaskan setelah ditukar dengan makanan yang diminta tahanan pengganas.

Kesemua 5 tebusan yang terkorban telah dikurniakan Kenaikan Pangkat Luar Biasa Anumerta (KPLBA) pada 9 Mei 2018, iaitu Iptu Luar Biasa Anumerta Yudi Rospuji Siswanto dari Densus 88, Aipda Luar Biasa Anumerta Denny Setiadi dari Polda Metro Jaya, Brigpol Luar Biasa Anumerta Fandy Setyi Nugroho dari Densus 88, Briptu Luar Biasa Anumerta Syukron Fadhli dari Densus 88, Briptu Luar Biasa Anumerta Wahyu Catur Pamungkas dari Densus 88.

@nokomendotcom

Gala Premiere Sayap-sayap Patah lakonan Nicholas Saputra & Ariel Tatum arahan @rudisoedjarwoofficial #viral #fyp #gala #premiere #movie #malaysia #indonesia #leong #cinta #sayapsayappatahmovie #amirmasdi

♬ My Love – 거미 (Gummy)

Kongsi berita di Nokomen.com
Nokomen.comBerita Terkini Hiburan Sensasi Malaysia

PERINGATAN: 
Nokomen.com tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia merupakan pandangan peribadi pemilik akaun dan bukan sesekali daripada pihak kami. Segala risiko akibat sebarang komentar yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun itu sendiri.

You may also like

Leave a Comment

Are you sure want to unlock this post?
Unlock left : 0
Are you sure want to cancel subscription?
MSL 2025